suria

Isu Kalimah Allah: Anwar Pertikai Titah Sultan Selangor

PETALING JAYA: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Selasa mempertikai titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang melarang penggunaan kalimah Allah di kalangan orang bukan Islam di negeri ini.

"Mais bergerak bebas dan tak ada kena-mengena dengan kerajaan negeri Selangor...bahkan beberapa kenyataan Mais itu tidak semestinya mewakili kerajaan negeri.

"Sebab itu semua larangan berkenaan hanya terpakai kepada Pakatan Rakyat dan tidak kepada Umno," katanya dalam nada sinis pada sidang media di Ibu Pejabat Parti Keadilan Rakyat (PKR) di sini.

Setiausaha Mais, Datuk Mohd Misri Idris dalam satu kenyataan berkata, Sultan Sharafuddin melahirkan rasa kesal terhadap kenyataan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng baru-baru ini yang menggesa Kerajaan Persekutuan membenarkan kalimah 'Allah' digunakan dalam kitab Bible versi bahasa Melayu.

Berikutan itu, Mohd Misri berkata Tuanku telah memanggil satu mesyuarat tergempar dengan ahli-ahli Mais, Mufti Selangor dan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) pada 6 Januari lalu berhubung perkara itu.

Tegasnya, baginda membuat keputusan dan menetapkan bahawa kalimah Allah adalah perkataan suci yang khusus bagi umat Islam dan dilarang untuk digunakan oleh mana-mana agama bukan Islam di Selangor seperti yang dinyatakan dalam fatwa dan diwartakan pada 18 Februari 2010.

Artikel Lain