suria

200 Unit Darah Diperlukan Setiap Hari Untuk Kes Kecemasan Hospital Sultanah Bahiyah

KUALA LUMPUR: Sebanyak 200 unit darah jenis A, AB, B dan O diperlukan dalam sehari bagi menampung keperluan pesakit terutama yang melibatkan kes-kes kecemasan.

Pakar Hematologi Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar, Dr Hafizah Hashim berkata hospital berkenaan yang kini mengalami masalah kekurangan darah memerlukan bekalan yang banyak bagi merawat pesakit talasemia, leukimia, obstetrik dan mangsa kemalangan.

"Darah yang kita ambil dari badan penderma hanya boleh disimpan dalam tempoh 35 hingga 42 hari sahaja dan ia tidak mencukupi untuk menampung keperluan pesakit yang banyak," katanya ketika dihubungi Bernama.

Justeru beliau memohon orang ramai untuk hadir ke lokasi derma darah yang dijadualkan bagi membantu golongan yang memerlukan.

Antara tempat yang terlibat ialah Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar, Hospital Sultan Abdul Halim Sungai Petani, Hospital Kulim, Hospital Jitra, Hospital Kuala Nerang, Hospital Sik, Hospital Yan, Hospital Baling dan Hospital Langkawi.

Operasi derma darah dijalankan setiap Ahad hingga Rabu dari pukul 8 pagi hingga 5 petang dan pada Khamis dari 8 pagi hingga 3.30 petang. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain