suria

Wanita PR Sasar Lima Ribu Sertai Himpunan Kebangkitan Rakyat

PETALING JAYA: Wanita Pakatan Rakyat (PR) mensasarkan lima ribu wanita pelbagai peringkat umur dari Selangor menyertai Himpunan Kebangkitan Rakyat yang akan diadakan Sabtu ini.

Naib Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR), Haniza Talha berkata Wanita PR akan menunut enam perkara bagi memperkasakan peranan golongan wanita di negara ini.

"Wanita PR menyatakan sokongan penuh terhadap Himpunan Kebangkitan Rakyat, Sabtu ini.

"Kami juga mahu menuntut enam perkara iaitu sebuah kerajaan yang bebas daripada rasuah, kualiti hidup yang lebih baik, menentang keganasan terhadap wanita, menuntut gaji yang berpatutan, menuntut pemansuhan Akta Perhimpunan Aman 2011 dan menuntut pilihan raya bersih dan adil," katanya pada sidang media di ibu pejabat PKR pada Rabu.

Turut hadir Timbalan Ketua Wanita PAS, Dr Siti Mariah Mahmud, Setiausaha Wanita DAP, Teo Nie Ching dan Pengerusi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Empower, Maria Chin.

Beliau berkata wanita PR yang menyertai himpunan aman itu akan memakai baju berwarna ungu bagi membezakan dengan golongan lain serta mengemukakan tuntutan mereka.

Kita akan berkumpul di Pasar Seni pada pukul 2 petang bersama-sama pimpinan tertinggi Wanita PR.

"Kita akan bergerak ke lokasi yang ditetapkan setakat ini di perkarangan Stadium Merdeka," katanya.

Sementara itu, Dr Siti Mariah berkata enam tuntutan yang dikemukakan itu selari dengan deklarasi Konvensyen Wanita Suara Perubahan yang telah diadakan pada Mac 2012.

"Walaupun pada awalnya hanya empat NGO sahaja yang akan menyertai himpunan ini namun dua lagi NGO akan turut serta.

"Kita mahu bawa suara wanita supaya kerajaan akan memberi perhatian yang serius terhadap tuntutan wanita ini," katanya.

Maria Chin yang juga aktivis Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) berkata mereka menyertai himpunan itu bagi membolehkan suara wanita didengari kerana mereka merupakan golongan yang turut terjejas.

Dalam pada itu, Nie Ching yang Ahli Parlimen Serdang menyeru wanita berkerjaya dan ibu muda turun beramai-ramai dan menyertai Himpunan Kebangkitan Rakyat sebagai tanda sokongan mereka. "Kami menyeru ibu muda yang berkerjaya menyertai himpunan ini kerana banyak isu-isu yang berlaku pada hari ini tidak memihak kepada mereka seperti kurangnya kemudahan menggalakkan penyusuan susu ibu, masa kerja yang membebankan ini semua perlu diatasi.

"Sebab itu kita mahu wanita yang akan turut serta dalam himpunan ini memakai baju berwarna ungu supaya suara kita akan lebih didengari," katanya.

Artikel Lain