suria

KDN Kaji Langkah Permudah Prosedur Pertukaran Status Bumiputera Siam

KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan mengkaji langkah bagi memudahkan prosedur dan proses permohonan pertukaran status individu berketurunan Siam tempatan tetapi didaftarkan sebagai keturunan Thai di dalam sijil kelahiran mereka.

Timbalan Menterinya Datuk Lee Chee Leong berkata ia akan dilaksanakan selaras undang-undang semasa agar pembetulan tersebut dapat dibuat tanpa menyusahkan pemohon.

"Kementerian juga sedia melaksanakan program turun padang bagi memastikan setiap permohonan dapat diambil tindakan berkesan," katanya ketika menjawab soalan Senator Datuk Boon Som Inong pada persidangan Dewan Negara, Khamis.

Boon bertanya sama ada kerajaan bersedia mempermudahkan urusan bagi masyarakat Bumiputera menukar maklumat status bangsa daripada Thai kepada Siam dalam semua dokumen pengenalan mereka.

Sementara itu, Lee berkata ketika ini individu berketurunan Siam tempatan tetapi didaftarkan sebagai keturunan Thai di dalam sijil kelahiran mereka boleh mengemukakan permohonan pembetulan maklumat di bawah peruntukan Seksyen 27 (3) Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 (Akta 299). Katanya, bagi pertukaran dalam kad pengenalan pula, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) tidak mempunyai sebarang halangan untuk menerima permohonan tersebut dengan syarat pemohon mengemukakan sijil kelahiran yang telah dipinda maklumat bangsanya daripada Thai kepada Siam.

"Data pemohon akan diselenggara ke dalam sistem berdasarkan maklumat bangsa yang tercatat dalam sijil kelahiran yang dikemukakan semasa permohonan," kata beliau.

Sehubungan itu katanya, pemohon dinasihat supaya mengemukakan permohonan pindaan sijil kelahiran terlebih dahulu kepada bahagian Kelahiran, Kematian dan Anak Angkat JPN untuk kelulusan pindaan maklumat keturunan sebelum dipertimbangkan permohonan pertukaran maklumat dalam kad pengenalan. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain