suria

BN Terengganu Kekal Dengan Senarai Calon Yang Dihantar Awal Tahun - Ahmad Said

KUALA TERENGGANU: Barisan Nasional (BN) Terengganu telah menghantar senarai calonnya untuk pilihan raya umum ke-13 pada awal tahun ini dan tidak ada senarai baru setakat ini, kata Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said.

Katanya senarai calon terbabit merupakan gabungan muka baharu dan lama, terserah kepada pucuk pimpinan BN untuk membuat keputusan.

"...saya hanya kemuka nama, berapa peratus muka baru atau lama itu bergantung dengan pimpinan tertinggi," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat exco, di sini, Rabu.

Pada masa yang sama Ahmad yakin BN Terengganu akan kekal memerintah selepas pilihan raya umum ke-13 kelak.

"Kita yakin (menang) dengan apa yang kita lakukan dan rakyat menerima apa yang kita lakukan, kalau mereka bersyukur mereka menyokong, hanya yang tidak bersyukur sahaja yang melawan," katanya.

Pada pilihan raya 2008, BN Terengganu mengekalkan penguasaan dua pertiga apabila memenangi 24 daripada 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan. -BERNAMA

Artikel Lain