suria

15,000 Liter Diesel Dirampas Di Temerloh

TEMERLOH: Bahagian Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) cawangan Bera dan Temerloh merampas 15,000 liter diesel bersubsidi bernilai RM217,900 dari dua buah lori di sini, Isnin.

Ketua Unit Penguatkuasa KPDNKK cawangan Temerloh Mohd Yusoff Othman berkata rampasan itu dibuat oleh sepasukan 10 anggota unit itu dari kedua-dua cawangan itu setelah melakukan intipan selama seminggu.

Beliau berkata ketika pemeriksaan ke atas sebuah lori tangki di Stesen Minyak Petronas Simpang Songsang di sini pada 5.30 petang semalam, pemilik kenderaan tersebut gagal mengemukakan sebarang dokumen atau permit daripada kementerian.

Katanya pemeriksaan lanjut mendapati lori itu berisi muatan diesel yang dipercayai untuk dihantar ke utara tanah air. Sebuah lagi lori turut ditahan kerana melakukan kegiatan sama.

Mohd Yusoff berkata pihaknya menahan empat lelaki berumur 30 hingga 48 tahun, termasuk kelindan kedua-dua kenderaan tersebut. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain