suria

Ucapan Dasar Presiden Umno Manifestasi Hadapi PRU-13 - Rosnah

KUALA LUMPUR: Ucapan dasar Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak akan dibawa dan dimanifestasikan dalam menghadapi pilihan raya umum (PRU) ke-13.

Ketua Puteri Umno, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata, ucapan dasar itu bukan sekadar menyemarakkan momentum tetapi penggerak kepada tindakan kerajaan sebelum dan semasa PRU.

"Kita sebagai tunggak pentadbiran dan politik dan sebagai tunggak kerajaan. Kita perlu memainkan peranan yang penting untuk menggerak misi ataupun dasar transformasi nasional yang diperkenalkan oleh pentabiran Yang Amat Berhormat (Najib) sendiri.

"Sesuatu perubahan atau penambahbaikan itu tidak terhasil daripada penukaran kerajaan tetapi kita perlu menjadikan proses transformasi itu sebagai usaha kita dalam memperkenalkan sesuatu yang baru, memperbaiki dan menambahbaik dasar atau polisi yang kita lakukan pada ketika ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada para pemberita mengenai ucapan dasar presiden parti sempena Perhimpunan Agung Umno 2012 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, Khamis.

Rosnah berkata, apa yang penting bagi Barisan Nasional (BN) adalah memastikan apa yang digagaskan sebagai pendekatan dan amalan.

"Selain menggagaskan satu-satu dasar, kita ingin memastikan bahawa perjalanan atau pelaksanaan dasar tersebut mendapat tempat di hati rakyat.

"Dan ia menjadikan kesejahteraan dan kedudukan rakyat sebagai keutamaan kita.

"Kitalah penggerak yang sudah tentu memastikan transformasi nasional itu digerakkan dan seterus dijadikan sebagai kekuatan parti untuk menghadapi PRU," katanya.

Perhimpunan Agung Umno 2012 membuka tirai secara rasmi pada Khamis dengan fokus kepada amanat Perdana Menteri yang juga Presiden parti, Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai persediaan Umno memimpin Barisan Nasional (BN) menghadapi pilihan raya umum ke-13.

Perhimpunan yang dihadiri 2,759 perwakilan akan berlangsung selama tiga hari di Dewan Merdeka, PWTC di sini.

Artikel Sebelum

Universiti Ketawa...

Artikel Lain