suria

Polis Tumpas Empat Sindiket Dadah

KUALA LUMPUR: Empat sindiket penyeludupan dadah telah ditumpaskan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman berikutan beberapa serbuan yang dijalankan pada minggu lepas.

Antara yang dirampas termasuklah heroin, syabu, pil Ecstasy dan pil Eremin 5 bernilai kira-kira RM837,000 keseluruhannya.

Serbuan terkini adalah pada hari Jumaat apabila polis menahan pemandu teksi di belakang hotel di Jalan Ipoh sekitar pukul 8.20 malam, kata Timbalan Ketua JSJN Bukit Aman Superintendan Adnan Azizon.

"Pemeriksaan terhadap teksi membawa kepada penemuan dua bungkusan yang mengandungi 19,750 biji pil Eremin 5," katanya dalam satu sidang akhbar di ibu pejabat polis Bukit Aman, di sini, Isnin.

Beliau berkata dadah tersebut mempunyai nilai kira-kira RM395,000 di pasaran luar sambil menambah siasatan mendapati pemandu teksi terbabit bertindak sebagai pengedar kepada pengguna serta pengedar dadah di sekitar Lembah Klang.

Beliau menambah pemandu teksi berusia 45 tahun itu telah ditahan sehingga 16 November.

Dalam kes berasingan, Supritendan Adnan berkata pihaknya menahan seorang lelaki berusia 27 tahun sekitar pukul 9 malam pada Khamis lalu berhampiran Jalan PPRT Seri Alam, Sg Besi, dan merampas 3,390 biji pil Ecstasy.

"Pil yang bernilai kira-kira RM135,600 telah disembunyikan di dalam kotak bijirin.

"Lelaki terbabit juga diuji positif dalam penyalahgunaan dadah," katanya, sambil menambah lelaki itu telah ditahan reman sehingga 15 November.

Supritendan Adnan berkata polis juga menahan seorang buruh asing berusia 38 tahun dalam bangunan terbiar berhampiran Jalan Ipoh pada 5 November dan merampas 2.26kg heroin yang sedang proses.

"Dadah bernilai kira-kira RM57,000 itu telah ditemui dalam lima paket plastik pada suspek," katanya, sambil menambah polis telah menahan reman suspek sehingga 15 November.

Dalam kes lain yang tidak berkaitan, Supritendan Adnan berkata polis telah menahan seorang lelaki berumur 50 tahun sekitar pukul 12.10 tengah malam tiga hari lebih awal berhampiran sebuah hotel di Jalan Conlay.

"Soal siasat membawa kepada penangkapan dua suspek lain di hotel mewah di bandaraya dan rampasan kira-kira 1.72kg syabu bernilai kira-kira RM250,000," katanya, sambil menambah ketiga-tiga lelaki telah ditahan sehingga 15 November.

Beliau berkata semua kes telah diklasifikasikan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana mengedar dadah, yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Supritendan Adnan berkata polis turut menyiasat kes untuk melihat jika suspek mempunyai hubungan dengan rangkaian penyeludupan dadah lain. Mereka yang mempunyai maklumat harus menghubungi 03-2115 9999 atau balai polis berdekatan.

Artikel Lain