suria

Kerajaan Pahang Percepat Kelulusan Tanah Rumah Generasi Kedua Felda - Adnan

BERA: Kerajaan Pahang bersedia meluluskan lebih banyak permohonan tanah untuk menjayakan usaha kerajaan persekutuan dan Felda membina perumahan untuk generasi kedua Felda.

Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob berkata setakat ini kerajaan negeri telah meluluskan beberapa kawasan bagi tapak projek berkenaan.

"Kerajaan negeri pada mesyuarat bersama para Exco minggu depan akan mempercepatkan lagi permohonan tanah untuk projek perumahan generasi kedua itu," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan surat hak milik tanah kepada 86 peserta Felda di Felda Tementi Bera, di sini, Isnin.

Adnan pada majlis itu juga turut mengingatkan warga peneroka agar tidak sewenang-wenangnya menjual dan memajak tanah kepada orang lain kerana jika tergadai ia sukar diganti semula meskipun mereka mempunyai wang yang cukup untuk menebus tanah berkenaan.

"Tanah Felda perlu dijaga untuk masa depan keluarga dan anak cucu kerana tanah tersebut adalah pemberian kerajaan yang diamanahkan kepada kita," katanya.

Dalam pada itu katanya bagi mengelak tanah peneroka tergadai, kerajaan negeri tidak lagi membenarkan peneroka menjual atau mengadai tanah tersebut kepada orang lain atau bank selain dipindah milik kepada anak atau keluarga terdekat.

"Manakala untuk dicagar kepada bank bagi menjalankan perniagaan, peneroka perlu mengisi borang dan kerajaan negeri akan menyiasat sebelum kelulusan diberikan," katanya. -BERNAMA

Artikel Lain