suria

Kos Premium Insurans Kenderaan Malaysia Terendah Di Asia Tenggara

KUALA LUMPUR: Kos premium insurans kenderaan di Malaysia antara yang terendah di negara Asia Tenggara.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Awang Adek Hussin berkata kos premium kenderaan di Malaysia setahun secara purata bernilai RM3062, sementara di Singapura bernilai RM 7 ribu, Thailand RM 6 ribu dan Indonesia RM 4 ribu.

"Secara perbandingan dengan negara-negara serantau kos premium insurans di Malaysia masih rendah.

"Hakikatnya penanggung insurans terpaksa membayar lebih banyak daripada yang diterima. Kita perlu mengimbangi ini supaya sistem tanggungan insurans ini dapat diteruskan," katanya ketika menjawab soalan Hamim Samuri (BN-Ledang) yang meminta penjelasan Kementerian Kewangan mengenai bayaran premium insurans kenderaan yang tinggi terutamanya ke atas kenderaan kecil dan lama.

Awang Adek berkata menjelang 2015 kerajaan berharap dapat menyelesaikan kaedah pembayaran insurans yang lebih baik.

"Harap pada 2015 nanti masalah ini dapat diselesaikan dengan lebih baik supaya pembayaran insurans ini lebih mencerminkan risiko.

"Bagi kenderaan lama yang berisiko tinggi sepatut bayar premium yang tinggi," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain