suria

Suri Rumah Didakwa Curi Pelbagai Barangan Di Pasar Raya

KUALA LUMPUR: Seorang suri rumah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini Isnin terhadap pertuduhan mencuri pelbagai barangan keperluan termasuk susu bayi dan barangan kelengkapan diri di sebuah pasaraya, Sabtu lepas.

Eng Hui Mun, 36, didakwa mencuri pelbagai barangan keperluan termasuk enam bungkus susu Dumex Dugro 900gram, dua kotak ubat gigi, dua botol pelembut pakaian, tiga bungkus sabun pencuci dan beberapa barangan kelengkapan diri yang kesemuanya bernilai RM523 di Pasaraya Jusco, Kepong, pada 1.40 petang 29 September lepas.

Ibu kepada dua orang anak itu didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Majistret Amal Razim Alias membenarkan tertuduh diikat jamin RM1,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 8 Oktober untuk urusan kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Norman Mohd Nasir manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Shamril Afzan Mohamad Hasim. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain