suria

Warisan Alam Semula Jadi Semakin Pupus

Projek kondominium dalam proses pembinaan di kaki bukit Mount Erskine.
Projek kondominium dalam proses pembinaan di kaki bukit Mount Erskine.
Projek kondominium dalam proses pembinaan di kaki bukit Mount Erskine.

GEORGE TOWN: Ketika bandar ini menyambut ulang tahun keempat sebagai tapak warisan dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (UNESCO), rakyat di negeri itu kehilangan warisan alam semula jadinya sedikit demi sedikit akibat kegiatan pemusnahan hutan yang semakin berleluasa.

Tinjauan menerusi udara mendapati, beberapa kawasan bukit yang menjadi kebanggaan penduduk di Tanjung Bungah, Sungai Ara, Paya Terubong, Relau dan Bukti Gambir ditarah untuk pelaksanaan projek pembangunan.

Pemusnahan hutan yang dilakukan untuk projek perumahan dan kondominum di lereng bukit itu menimbulkan kebimbangan di kalangan penduduk berhampiran yang mendakwa alam semulajadi di negeri itu akan pupus.

Presiden Persatuan Pengamatan Air Pulau Pinang, Prof Dr Chan Ngai Weng berkata, kegiatan tersebut boleh menjejaskan kawasan tadahan air, menyebabkan hakisan tanah, tanah runtuh, banjir, pencemaran sungai dan perubahan iklim.

Menurutnya, cuaca di Pulau Pinang kini lebih panas berbanding dua dekad lalu.

"Perubahan ini dapat dirasai terutamanya di George Town.

"George Town pada ketika ini merupakan sebuah bandar yang panas," kata pensyarah di Fakulti Ilmu Kemanusiaan Universiti Sains Malaysia (USM).

Beliau memberi amaran bahawa keadaan akan menjadi lebih teruk.

Taburan hujan, katanya, semakin berkurangan kerana bilangan pokok semakin terjejas untuk melalui proses penyejatpeluhan.

Presiden Persatuan Warisan Pulau Pinang (PHT), Khoo Salma Nasution berkata, lereng bukit tidak seharusnya diterokai.

"Ia merupakan sumber alam semula jadi, hutan simpan, rizab air dan latar belakang bersejarah untuk sebuah bandar yang terletak di persisir pantai.

"Ekosistem kami tidak kukuh dan untuk membangunkan projek kondominium dan perumahan di lereng bukit boleh mencetuskan masalah alam sekitar di kawasan itu," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Lain