suria

31 Pelajar SMK Tok Muda Abd Aziz, Sg Siput Keracunan Makanan

SUNGAI SIPUT: Hidangan ayam masak merah dipercayai punca 31 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Tok Muda Abdul Aziz di sini, mengalami keracunan makanan dalam satu kejadian pada Sabtu.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kerajaan Tempatan, Hal Ehwal Pengguna, Alam Sekitar, Pengangkutan Awam dan Hal Ehwal Bukan Islam negeri Datuk Dr Mah Hang Soon, kejadian membabitkan 20 pelajar perempuan dan 11 lelaki.

Kesemua mereka menerima rawatan pesakit luar selepas mengalami sakit perut, loya, muntah dan pening kepala, katanya menerusi khidmat pesanan ringkas kepada Bernama.

Bernama difahamkan kejadian berlaku selepas pelajar terbabit bersarapan di kantin sekolah sebelum mengikuti program motivasi khas untuk pelajar Tingkatan Tiga, Lima dan Enam yang bakal menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah, Sijil Pelajaran Malaysia dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia.

Tinjauan Bernama ke sekolah itu mendapati semua pelajar terbabit hanya dirawat di Pusat Sumber sekolah oleh pegawai perubatan dari Hospital Sungai Siput. Sementara itu, seorang daripada mangsa yang tidak mahu dikenali berkata beliau mengalami sakit perut kira-kira pukul 10 pagi ketika mengikuti program berkenaan. "Saya terkejut melihat ramai lagi rakan-rakan beratur memasuki tandas sambil menekan perut dan ada di antara mereka menangis kerana tidak dapat menahan kesakitan.

"Rakan kami juga turut muntah berhampiran longkang sebelum pihak kesihatan memberi rawatan kepada kami. Tidak semua terlibat disebabkan ada di antara pelajar yang tidak makan," kata pelajar Tingkatan Lima itu. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain