suria

Agong Berangkat Ke Istiadat Menghadap & Pengurniaan Darjah Kebesaran Persekutuan

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah pada Sabtu berkenan berangkat ke Istiadat Menghadap dan Pengurniaan Darjah-darjah Kebesaran Persekutuan sempena Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong.

Istiadat itu buat julung kalinya diadakan di Istana Negara baharu, di Jalan Duta di sini.

Pada tahun ini, Seri Paduka berkenan mengurniakan darjah kebesaran kepada 1,523 penerima.

Terdahulu, Tuanku Abdul Halim dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah berkenan berangkat ke Istiadat Mengarak Panji-Panji Yang di-Pertuan Agong di Dataran Panglima Tentera Darat, Kem Sungai Besi.

Pada April lepas, upacara pertabalan Tuanku Abdul Halim sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14 berlangsung dengan penuh istiadat di Istana Negara berkenaan.

Pertabalan bersejarah itu menyaksikan Tuanku Abdul Halim dilantik semula sebagai Ketua Negara sejak sistem giliran memegang jawatan dalam kalangan sembilan Sultan dan Raja Melayu dipraktikkan selepas Malaysia mencapai kemerdekaan pada 1957.

Tuanku Abdul Halim pertama kali ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong Kelima pada 1970 semasa berusia 42 tahun, dan kini empat dekad kemudian, Seri Paduka ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14 pada usia 84 tahun.

Istiadat Pengurniaan Darjah-Darjah Kebesaran dimulakan dengan lagu kebangsaan 'Negaraku' sejurus keberangkatan tiba Tuanku Abdul Halim dan Tuanku Hajah Haminah di Balai Rong Seri.

Seterusnya, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyampaikan ucapan sembah tahniah kepada Seri Paduka bagi pihak Kerajaan dan rakyat Malaysia.

Tuanku Abdul Halim turut menerima ucapan tahniah daripada Doyen Kor Diplomatik, Duta Besar Emiriyah Arab Bersatu ke Malaysia Nasser Salman Alaboodi yang mewakili Ketua-ketua Perwakilan Asing di Malaysia.

Seri Paduka menyampaikan Titah Diraja dan kemudiannya berkenan mengurniakan darjah-darjah kebesaran kepada 45 penerima hari ini.

Istiadat pengurniaan darjah-darjah kebesaran dimulakan dengan penganugerahan kepada Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah Tunku Annuar Sultan Badlishah yang juga Tunku Bendahara Kedah dan kepada puteri Seri Paduka, Tunku Panglima Besar Kedah (Ahli Jemaah Pemangku Sultan Kedah) Tunku Puteri Intan Safinaz Sultan Abdul Halim Mua'adzam Shah.

Kedua-dua kerabat diraja Kedah itu adalah antara 18 penerima yang dikurniakan Darjah Panglima Setia Mahkota (PSM) yang membawa gelaran 'Tan Sri'.

Istiadat pengurniaan seterusnya kepada Ketua Hakim Negara Tan Sri Arifin Zakaria, penerima tunggal Darjah Seri Setia Mahkota Malaysia (SSM) yang membawa gelaran 'Tun'.

Tuanku Abdul Halim turut mengurniakan Darjah Panglima Mangku Negara (PMN) yang membawa gelaran 'Tan Sri' kepada dua penerima iaitu Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin dan Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Md Raus Sharif dan seorang penerima darjah PSM Kehormat yang juga membawa gelaran 'Tan Sri' iaitu Ketua Perkhidmatan Awam Negara Singapura Peter Ong Boon Kwee.

Antara penerima darjah PSM pada Sabtu adalah Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Khalid Abu Bakar; Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah Datuk Seri Panglima Sukarti Wakiman; Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak Datuk Amar Mohamad Morshidi Abdul Ghani; Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Datuk Shamsul Azhar Abbas; Anggota Parlimen Johor Baharu Datuk Seri Shahrir Ab Samad dan Pengerusi Tetap Umno Datuk Badruddin Amiruldin.

Selain itu, 21 penerima dikurniakan Darjah Panglima Jasa Negara (PJN). Antara yang menerima darjah kebesaran hari ini adalah Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia Datuk Muhammad Ibrahim dan Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia Prof Datuk Dr Zaini Ujang.

Masing-masing seorang penerima dikurniakan Darjah PJN Kehormat iaitu Duta Besar Monaco ke London Evelyne Genta manakala Darjah Panglima Setia Diraja (PSD) pula kepada Setiausaha Sulit Kanan kepada Yang di-Pertuan Agong Elmi Mohd Yusoff. Kedua-dua darjah kebesaran itu membawa gelaran 'Datuk'.

Istiadat pengurniaan diakhiri dengan bacaan doa oleh Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Wan Zahidi Wan Teh sebelum para penerima darjah kebesaran menikmati jamuan ringan bersama Seri Paduka berdua.

Hari keputeraan Yang di-Pertuan Agong secara rasminya disambut pada setiap hari Sabtu pertama bulan Jun, tidak mengambil kira tarikh hari keputeraan sebenar mana-mana Sultan atau Raja-Raja Melayu yang sedang memegang jawatan Yang di-Pertuan Agong.

Bagi tahun 2012, hari Sabtu pertama bagi bulan Jun ialah pada 2 Jun.- BERNAMA

Artikel Lain