suria

70 Sen Bagi Khidmat Basuh, Gosok Dan Hantar Sepasang Uniform PLKN

KUALA LUMPUR: Sepasang uniform yang dihantar pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) untuk dibasuh dan digosok warga penjara hanya akan dikenakan bayaran 70 sen sahaja.

Ia adalah antara perkhidmatan dobi yang ditawarkan di 20 buah penjara kepada 28 kem PLKN itu sejak 1 Jan tahun ini sehingga 21 Dis 2016 hasil kerjasama antara Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) dan Jabatan Penjara Malaysia (JPM).

Majlis menandatangani Nota Persetujuan bagi pelaksanaan program perkhidmatan dobi itu berlangsung di Kementerian Pertahanan di sini, Jumaat, antara Ketua Pengarah JLKN Datuk Abdul Hadi Awang Kechil dan Ketua Pengarah JPM Datuk Wira Zulkifli Omar.

Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Datuk Seri Ismail Ahmad berkata antara barangan yang boleh dihantar untuk perkhidmatan dobi itu ialah baju celoreng, tuala dan seluar yang dibekalkan JLKN.

"Bayaran yang dikenakan adalah untuk perkhidmatan membasuh, menggosok dan menghantar semula pakaian tersebut," katanya kepada pemberita selepas majlis pemeteraian persetujuan itu.

Beliau berkata projek perintis program perkhidmatan dobi itu dilaksanakan di Penjara Simpang Renggam dan Pusat Pemulihan Akhlak (PPA) Muar untuk Kem PLK NNasuha di Pagoh.

"Mungkin selepas ini kita boleh hantar kasut (pelatih) untuk dibaiki, kelak mereka (penghuni penjara) dapat memiliki kedua-dua kemahiran (dobi dan membaiki kasut) untuk mereka mencari pekerjaan selepas keluar penjara," katanya.

Ditanya mengenai cadangan mewajibkan semua pelajar lepasan sekolah menengah menyertai PLKN pada masa akan datang, Ismail berkata ia mungkin sukar dilaksanakan kerana kemampuan JLKN sebagai agensi pelaksana program terbatas dan hanya mampu melatih dan menyediakan kemudahan dan perkhidmatan kepada sekitar 90,000 pelatih setahun.

"Ketika ini kita lakukan pemilihan untuk pelatih secara rambang. Tempat disediakan cuma ada 79 kem. Dalam masa setahun, kelahiran hampir setengah juta.

"Keupayaan untuk melatih cuma 90,000 sahaja. Tidak mungkin JLKN mampu melatih kesemua mereka. Kita memang ingin (melatih semua) tetapi kemampuan kita setakat itu sahaja," katanya.

Semalam Pengerusi Majlis Latihan Khidmat Negara (MLKN) Datuk Dr Tiki Lafe berkata cadangan pelaksanaan program itu telah dibincangkan oleh MLKN dan akan dibawa kepada kerajaan bagi mendapat persetujuan.

Beliau dilaporkan berkata berdasarkan maklumbalas yang diterima, sambutan daripada ibu bapa serta individu untuk menyertai program berkenaan cukup memberangsangkan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain