suria

20 Buah Rumah Rosak Dipukul Ribut Di Balik Pulau

BALIK PULAU: Dua puluh buah rumah di tiga buah kampung di sini rosak teruk akibat dipukul ribut awal Rabu.

Bagaimanapun, beratus-ratus penduduk Kampung Terang, Kampung Perlis dan Kampung Genting berjaya menyelamatkan diri dalam kejadian pukul 2.30 pagi itu.

Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Pulau Betong Muhamad Farid Saad berkata kejadian itu turut memusnahkan harta benda penduduk dan Unit Penyelarasan dan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri sedang membuat penilaian untuk menyalur bantuan.

"Tiga syarikat kontraktor dilantik bagi membaik pulih kerosakan rumah penduduk dan Jabatan Kebajikan Masyarakat juga akan memberi bantuan keperluan harian," katanya.

Sementara itu seorang mangsa, Jamaludin Ahamad, 65, berkata ketika kejadian, dia sedang menonton televisyen bersendirian di ruang tamu manakala anggota keluarga lain sedang tidur.

"Saya terperanjat mendengar bunyi pokok manggis di belakang rumah tumbang dan menghempap bumbung dapur tetapi syukurlah kami anak beranak selamat," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Fatimah Sanin, 43, pula menyifatkan bencana itu sebagai terburuk dalam hidupnya.

"Saya beritahu anak-anak yang bunyi angin kuat, tetapi belum sempat habis cakap, kami semua dengar bunyi dentuman yang kuat dan bumbung di ruang tamu serta bilik utama habis ranap," katanya.

Kata Fatimah, dia sekeluarga kemudian menyelamatkan diri dan berteduh di kawasan lapang bersama penduduk kampung. - BERNAMA

Artikel Lain