suria

Warga Nigeria Diarah Bela Diri Pertuduhan Miliki 138.8 Gram Kanabis

PETALING JAYA: Warga Nigeria, Emenike Joseph, 31, diperintah oleh Mahkamah Sesyen di sini untuk membela diri terhadap pertuduhan memiliki 138.8 gram dadah jenis Kanabis di kediamannya.

Hakim Suraiya Mustafa Kamal membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya Ching Kian Chun, berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh di akhir kes pendakwaan.

Tertuduh yang diwakili peguam Syahrul Syazwan Salehin, didakwa melakukan kesalahan itu di No. E-03-05, Blok E, Pangsapuri Seri Pulai, Jln PH 4, Taman Puchong Hartamas, Puchong, pada 2.30 petang, 7 September 2010.

Dia didakwa mengikut Seksyen 6, Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39A(2) akta yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau penjara tidak kurang lima tahun dan sebatan tidak kurang 10 sebatan.

Sepanjang perbicaraan, seramai lima saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan.

Mahkamah menetapkan 11 Jun untuk tertuduh membela diri. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain