suria

Wang Tunai RM300,000 Ditemui Dalam Kebakaran Di Sebuah Rumah Di Melaka

MELAKA: Pihak bomba menemui wang tunai berjumlah RM300,000 ketika memadam kebakaran di sebuah rumah dipercayai menjadi stor simpanan mercun dan bunga api di Jalan Penghulu Abas berdekatan Akademi Kastam Melaka di sini, Isnin.

Dalam kejadian pada 7.45 pagi, rumah tersebut musnah dijilat api namun penghuni rumah berusia 60-an berjaya menyelamatkan diri.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Kubu Yazid Mohd Tahir yang mengetuai operasi berkata, pihaknya menjumpai satu baldi berisi wang tunai tersebut ketika memadam kebakaran.

Beliau berkata wang berkenaan kemudian diserahkan kembali kepada pemilik rumah tersebut.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Bomba dan Penyelamat Melaka Sohami Mohamed berkata tujuh jentera dari Balai Bomba Bukit Katil, Ayer Keroh dan Jalan Kubu dikejarkan ke lokasi setelah menerima panggilan pada 8.02 pagi.

"Pihak bomba mengambil masa 30 minit untuk memadam kebakaran berikutan api marak dan berlakunya letupan akibat mercun dan bunga api," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata siasatan awal menemui mercun dan bunga api yang dipercayai disimpan secara tidak sah dalam dua bilik rumah setingkat itu.

Sementara itu, Ketua Polis Melaka Datuk Chuah Ghee Lye yang mengesahkan kejadian berkata pihaknya akan menyiasat secara terperinci termasuk dari segi permit kerana ia melibatkan penyimpanan mercun dan bunga api dalam kuantiti yang banyak. - BERNAMA

Artikel Lain