suria

Anggota Polis Trafik Cedera Dirempuh Penunggang Motosikal

IPOH: Seorang anggota polis trafik cedera selepas dirempuh seorang penunggang motosikal semasa "Ops Samseng Jalanan" di Jalan Sultan Azlan Shah di sini awal pagi Ahad.

Ketua Polis Trafik Daerah Ipoh, DSP Wan Sharuddin Wan Omar berkata mangsa Koperal Mohd Fazil Ali, 40, yang cedera di tangan kanan dirawat sebagai pesakit luar di Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini.

"Kejadian berlaku pada pukul 3 pagi, ketika mangsa bersama beberapa anggota polis trafik sedang menjalankan operasi, apabila salah seorang daripada penunggang motosikal yang ditahan enggan berhenti di sekatan polis lalu merempuhnya," katanya dalam sidang media di sini Isnin.

Beliau berkata penunggang motosikal terbabit kemudian meninggalkan motosikalnya dan melarikan diri.

Dalam operasi yang bermula pukul 3 pagi hingga 6.45 pagi semalam, 64 penunggang motosikal dan dan 22 pemandu kenderaan ditahan kerana melakukan pelbagai kesalahan, manakala sebanyak 42 buah motosikal ditinggalkan oleh penunggangnya.

Wan Sharuddin berkata sebanyak 86 saman melibatkan 257 kesalahan dikeluarkan antaranya tiada lesen memandu, tiada cukai jalan, tiada nombor pendaftaran, tidak memakai tali pinggang keledar, memandu sambil mengunakan telefon bimbit, mengubahsuai ekzos, tidak melekatkan tanda P atau L dan tidak memiliki insurans.

Mereka yang ditahan berumur antara 15 hingga 40 tahun.

Katanya polis turut menahan empat lelaki berusia 17 hingga 24 tahun kerana didapati positif dadah.

Seramai 59 anggota polis, sukarelawan polis dan Rela terlibat dalam operasi tersebut yang dilakukan di empat jalan utama di bandar raya ini iaitu Jalan Sultan Idris Shah, Jalan Raja Musa Aziz, Jalan Hospital, Jalan Sultan Azlan Shah. - BERNAMA

Artikel Lain