suria

AirAsia Hentikan Penerbangan Kuala Lumpur-Solo

KUALA LUMPUR: AirAsia menggantung operasi penerbangan tujuh kali seminggu Kuala Lumpur-Solo (Indonesia) berkuat kuasa 2 September, 2012 sebagai sebahagian daripada penyusunan semula pelan perniagaannya.

"Pengguna yang telah menempah penerbangan untuk laluan itu akan dihubungi oleh petugas perkhidmatan pelanggan untuk memaklumkan mengenai penggantungan itu selain opsyen yang disediakan untuk mereka," kata syarikat penerbangan tambang rendah itu dalam satu kenyataan pada Selasa.

AirAsia berkata penumpang terbabit akan ditawarkan bayaran balik sepenuhnya atau kredit shell bagi nilai yang mereka bayar.

Mereka juga akan ditawarkan pertukaran penerbangan dari Kuala Lumpur-Solo ke Yogyakarta atau Semarang, tanpa bayaran tambahan untuk penerbangan.

"Mereka juga boleh menukar kepada penerbangan awal dari atau ke Kuala Lumpur atau Solo tanpa bayaran tambahan, dan tertakluk kepada kesediaan tempat duduk," katanya.

AirAsia berkata penggantungan laluan itu adalah selari dengan pelan perniagaan kumpulan untuk menyusun semula dan memperkukuh operasi Indonesia.

Lebih banyak sambungan akan disediakan untuk laluan Kuala Lumpur dan destinasi lain di Indonesia tidak lama lain, katanya.

Pelanggan juga boleh menghubungi AirAsia menerusi media sosial menggunakan twitter AsiaAsia di twitter.com/AskAirAsia untuk maklumat lanjut mengenai penggantungkan laluan berkenaan. BERNAMA

Artikel Lain