suria

Rayuan Che Tom Sempena Hari Ibu: Pulanglah Azmin

Che Tom. Foto MOHD FARIZWAN HASBULLAH
Che Tom. Foto MOHD FARIZWAN HASBULLAH
Che Tom. Foto MOHD FARIZWAN HASBULLAH

KUALA LUMPUR: Che Tom Yahaya, 78, berkata, permintaan beliau sempena Hari Ibu adalah mahu anak lelakinya bertaubat dan kembali ke pangkuan keluarga.

“Dia tidak datang untuk melihat saya selama beberapa bulan walaupun saya sakit dan dimasukkan ke hospital beberapa kali,” kata Che Tom mengenai anak lelakinya, Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Azmin Ali pada sidang media di rumahnya di sini, Jumaat.

Beliau berkata, sudah tiba masanya untuk beliau bercakap mengenai anaknya.

“Masyarakat mengatakan saya bukan seorang ibu yang baik dan saya tidak membesarkannya dengan baik, tetapi saya tahu saya membesarkan semua anak saya dengan baik,” kata beliau yang merujuk laporan mengenai penglibatan Azmin dalam perhimpunan Bersih 3.0 dan dakwaan salah laku seksual.

Che Tom berkata, kali terakhir beliau melihat anaknya adalah pada Hari Raya tahun lepas apabila Azmin berselisih faham dengan kakaknya, Ummi Hafilda, yang merupakan seorang ahli perniagaan.

“Dia (Azmin) marah apabila nampak kakaknya, dan mula memanggil kakaknya dengan macam-macam nama.

“Dia juga memberitahu anak-anaknya supaya tidak makan apa-apa di rumah saya,” kata beliau, sambil menambah bahawa terdapat percubaan beberapa kali oleh ahli keluarganya untuk menghubungi Azmin selepas kejadian itu, tetapi sia-sia.

“Dia masih anak saya.

“Jika dia kembali sedar dan mahu pulang ke pangkuan keluarga, saya akan terima dia,” katanya yang merupakan seorang ibu kepada enam anak, sambil menangis.

Artikel Sebelum

Artikel Lain