suria

Kereta Wartawan Akhbar Guang Ming Daily Disabotaj

GEORGE TOWN: Tayar kereta milik seorang wartawan akhbar berbahasa Cina, Guang Ming Daily pada Rabu dipancitkan oleh individu tidak dikenali dipercayai perbuatan sabotaj.

Mangsa, Janny Lee Ean Choon, 40, berkata kejadian itu disedari semasa beliau hendak mengalihkan kereta jenis Proton Gen-2 miliknya, yang diparkir berhampiran pejabatnya di Jalan Rumbia, Bukit Jambul kira-kira pukul 7 malam ini.

"Ada dua batang paku yang agak panjang ditusukkan pada tayar sebelah kanan. Termasuk hari ini sudah tiga kali tayar kereta saya dipancitkan dengan cara serupa," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan di Balai Polis Sungai Nibong di sini, Rabu.

Lee berkata beberapa minggu lepas, seorang lelaki berusia 20-an ada melarang beliau meletak kenderaan di tempat letak kereta awam di situ tanpa mengemukakan alasan yang munasabah.

"Kejadian hari ini turut dilihat oleh seorang pekerja bengkel membaiki motosikal berhampiran tempat kejadian. Menurut saksi itu, dia ada melihat seorang lelaki melakukan sesuatu terhadap kereta saya. Saya yakin suspek orang yang sama," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Gan Kong Meng ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan mengenai kejadian itu.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana khianat yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan," katanya. -BERNAMA

Artikel Lain