suria

Padah Curi Basikal Fixie, Dua Sahabat Didenda RM2,000 Seorang

KUALA TERENGGANU: Gara-gara mencuri sebuah basikal bernilai RM480 milik seorang pelajar sekolah, dua sahabat didenda RM2,000 setiap seorang oleh Mahkamah Majistret di sini Rabu.

Majistret Rozianti Mohamed Hanaphi menjatuhkan hukuman itu terhadap Syed Mohammad Hafizuddin Syed Rahillah, 21, dan Wan Mohammad Azimi Wan Azamuddin, 20, selepas mereka mengaku salah melakukan kesalahan itu.

Kedua-dua tertuduh yang berasal dari Kampung Bukit Besar di sini didakwa telah bersama-sama mencuri sebuah basikal jenis Fixie Promax milik seorang pelajar di tempat letak basikal berhadapan sebuah surau di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Negara di sini antara pukul 11 pagi hingga 2.15 petang, 18 Mac lepas.

Hasil maklumat orang ramai, sepasukan polis menyerbu dua buah rumah di Bukit Besar dan berjaya memberkas kedua-dua lelaki itu pada 25 Mac lepas.

Pendakwaan dijalankan ASP Ngiam Ooi Ming sementara kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Bagi kesalahan tersebut, mereka dituduh mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tujuh tahun atau denda atau sebatan.

Terdahulu, Syed Mohammad Hafizuddin yang bekerja sebagai pembantu kedai dan Wan Mohammad Azimi, seorang penggangur memohon kepada mahkamah agar hukuman mereka dikurangkan memandangkan ia adalah kesalahan pertama yang dilakukan.

Selepas meneliti rayuan tertuduh, Rozianti kemudian memerintahkan kedua-dua tertuduh membayar denda RM2,000 setiap seorang dan jika gagal mereka boleh dipenjara selama dua bulan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain