Macam-Macam Cara Hendak Menipu Orang - Semasa | mStar

Macam-Macam Cara Hendak Menipu Orang

DALAM dunia ini apatah lagi dunia internet, penulis dapati macam-macam cara orang lakukan untuk menipu orang lain.

Yang menakjubkan ialah, orang yang hendak tipu itu satu hal lah tapi orang yang bakal kena tipu itu pun satu hal pula lagi kerana sanggup menghulurkan dirinya untuk ditipu.

Kenapa ini semua boleh berlaku? Jawapannya agak mudah - kerana tamak haloba.

Manusia mudah putih mata kerana wang. Orang hendak menjadi kaya dengan cara mudah sedangkan tidak ada dalam dunia ini orang menjadi kaya dengan cara mudah.

Kalau penipu hendak jadi kaya sekali pun dia masih kena cari jalan bagaimana hendak menipu orang. Maknanya bukan mudah.

Tetapi malang sekali, orang yang kena tipu begitu mudah sekali menyerahkan diri mereka untuk ditipu dan menjadi mangsa penipuan mala'un-mala'un ini semua.

Pagi tadi penulis telah menerima satu emel daripada seseorang yang tidak dikenali yang dengan mudah sekali meninggalkan 'wasiat' kepada penulis untuk mewarisi harta kekayaan peninggalan suaminya.

Penulis emel ini (seorang wanita) mendakwa dia sedang menderita mengidap sakit kanser dan akan meninggal dunia tidak lama lagi tetapi dia berhadapan dengan satu masalah besar iaitu tidak ada waris untuk meninggalkan harta yang begitu banyak - dua juta pound sterling jumlahnya.

Lalu dia pun menawarkan wang sebanyak itu untuk diwarisi kepada penulis.

Penulis tergamam sejenak. Tergamam bukan kerana terkejut dengan jumlah wang yang begitu banyak yang dimiliki oleh wanita itu tetapi kerana wanita itu tidak tahu apa yang hendak dilakukannya dengan wang sebanyak itu.

Lebih tergamam kerana dia sanggup mewariskan wang sebanyak itu kepada seseorang yang tidak dikenalinya seperti penulis.

Penulis juga menjadi separuh sewel mengenangkan kenapakah wanita itu tidak mahu mewariskan wang tersebut kepada anak-anak yatim, rumah kebajikan, sekolah pondok atau sekolah agama, sekolah rakyat, pusat-pusat pemulihan dadah yang sangat-sangat memerlukan dana dan juga pusat rawatan kanser ka?

Apa yang susah sangat sampai harus mencari seorang yang tidak dikenali seperti penulis untuk mewariskan wang peninggalan tersebut?

Pelik sungguh sikapnya. Tetapi penulis percaya, penulis bukan satu-satunya penerima emel tersebut.

Beribu lagi pemegang akaun emel akan menerimanya dan yang paling aneh nanti ialah akan ada yang termakan dengan emel seperti ini kerana kelabu mata melihat jumlah wang yang hendak 'didermakan' oleh wanita itu.

Mereka tidak tahu apa motifnya tetapi mereka masuk juga perangkap penipuan ini.

Sudah pastinya mereka yang membalas emel ini akan menerima emel susulan yang meminta mereka terlebih dahulu memasukkan deposit sebagai cagaran untuk membolehkan wang berjumlah dua juta pound sterling itu dilunaskan.

Bacalah sendiri emel yang penulis terima ini dan buatlah pertimbangan yang wajar dan rasional. Jangan sampai menjadi mangsa ketamakan diri sendiri.

"Assalammuailaikum, Saya ingin mempenalkan diri saya terlebih dahulu. Nama saya Puan ............... from Malaysia. Untuk makluman, saya penghidap kanser di tahap yang serius. Dan doktor telah mengesahkan bahawa saya tidak akan dapat bertahan hidup lebih lama.

"Dengan murah hatinya saya ingin mendermakan segala yang saya miliki dan ini adalah keinginan yang saya dan arwah suami saya telah rancang sebelum ini memandangkan kami tiada di kurniakan cahaya mata. "Dengan murah hatinya dan keikhlasan hati saya dan arwah suami saya. Dan saya percaya allah maha mengetahui niat saya ini. Dengan ini, saya menghulurkan atau menyumbangkan sejumlah wang sebanyak £2,000,000.00 (Dua Juta Pounds) kepada anda.

"Dalam memudahkan semua urusan antara saya dan anda, saya akan meminta peguam saya menyediakan segala dokumen yang berkenaan. Dan dengan izin allah semua urusan akan berjalan dengan lebih lancar, dan pindah hak milik di antara kita tidak akan bermasalah.

"Semoga allah memberkati segala kerjasama dari anda dan gunakan lah pemberian saya ini dengan bijaksana.

"Salam, Puan..............."

Artikel Berkaitan

Artikel Lain