suria

13 Motosikal Terbakar Dalam Dua Kejadian Berasingan

KUALA LUMPUR: Sebanyak 13 motosikal hangus terbakar dalam dua kejadian berasingan dipercayai akibat perbuatan khianat, di Flat Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seri Semarak dan Flat PPR Air Panas di sini malam Isnin. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Setapak, Suki Annuar berkata dalam kejadian pertama kira-kira 12 tengah malam, pihak bomba bergegas ke PPR Seri Semarak untuk memadamkan 12 buah motosikal yang terbakar.

"Bomba tiba di tempat kejadian 10 minit kemudian namun api telah berjaya dipadamkan oleh penduduk setempat. Dalam tempoh sejam kemudian, sebuah lagi motosikal dilaporkan terbakar di PPR Air Panas, kira-kira satu kilometer dari tempat kejadian pertama," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata motif sebenar kejadian masih dalam siasatan dan anggaran kerugian bagi kedua-dua kejadian ialah kira-kira RM60,000. Seorang pemilik motosikal berkenaan di PPR Seri Semarak, Ahmad Basri Azman berkata beliau pada mulanya terdengar kekecohan berlaku, sebelum beliau bergegas keluar untuk melihatnya.

"Apabila saya turun dari rumah saya di tingkat dua, saya lihat ada beberapa buah motosikal terbakar dan saya terkejut apabila melihat motosikal saya turut terbakar. Saya dan penduduk lain dengan pantas memadam api dan dapat mengawal api daripada terus merebak," katanya.

Beliau percaya kejadian itu berlaku ekoran pergaduhan antara dua kumpulan samseng di kawasan itu.

Pada 28 Januari lepas, sebanyak 26 motosikal dan sebuah teksi turut terbakar yang dipercayai akibat perselisihan antara dua kumpulan samseng, di tempat letak kereta pangsapuri Desa Mentari Sunway, Petaling Jaya dan disusuli dengan satu lagi kebakaran pada hari yang sama melibatkan sebuah motosikal di Taman Sri Sentosa, Jalan Klang Lama. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain