suria

GAMIS Sedia Bincang Dengan BN

ALOR SETAR: Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) menyuarakan hasrat ingin tampil di platform Barisan Nasional (BN) bagi menyuarakan pandangan dan hasrat golongan berkenaan sekiranya parti pemerintah itu membuka ruang yang lebih luas kepada mereka.

Setiausaha Agung GAMIS, Akram Ikrami Taib Azamudden berkata, gabungan itu sentiasa bersedia untuk bersemuka dengan kerajaan bagi membincangkan pelbagai persoalan yang dibangkitkan oleh golongan mahasiswa dan belia.

"Kami juga tunggu ruang di pihak BN untuk beri peluang bagi menyuarakan suara dan keinginan kami," katanya pada sesi Ucapan Suara Nurani Rakyat Malaysia di Konvensyen Pakatan Rakyat ke-3 di sini, Sabtu.

Akram Ikrami tampil di pentas pembangkang bagi mewakili suara golongan muda dan mahasiswa.

"Saya tampil di pentas Pakatan Rakyat bagi membuktikan bahawa mahasiswa tidak gentar untuk terus berjuang demi masa depan kami," katanya.

Selain itu Akram Ikrami turut mengingatkan pimpinan Pakatan Rakyat agar tidak hanya melaungkan hasrat untuk menawan Putrajaya tanpa disusuli dengan pelbagai strategi yang berkesan.

"Tak guna laung di sana sini nak tawan Putrajaya tapi tak ada tindakan yang sewajarnya untuk merealisasikan hasrat itu," katanya.

Tambah beliau, sekiranya Pakatan Rakyat berjaya mengambil alih pentadbiran kerajaan Pusat selepas Pilihan Raya Umum ke-13 nanti, pakatan itu disaran agar menyelesaikan pelbagai isu yang dihadapi oleh mahasiswa.

Menurutnya, golongan mahasiswa dan belia seharusnya diberi keistimewaan dalam sistem pentadbiran kerajaan untuk memastikan kelompok itu sentiasa diberi perhatian yang sewajarnya.

"Saya seru Pakatan Rakyat agar jangan hanya sedia selesaikan isu mahasiswa dibebani hutan PTPTN, tapi juga perlu fikir tentang bagaimana kaedah untuk uruskan hutang-hutang itu.

"Kami mohon Pakatan Rakyat agar sediakan ruang yang begitu tepat kepada kami...bukan sekadar forum atau persidangan. Kalau boleh sediakan satu kerusi Parlimen untuk mahasiswa," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Lain