suria

Projek Lebuhraya Limbongan-Klebang Atasi Kesesakan Di Melaka

MELAKA: Lebuhraya Limbongan-Klebang sejauh 5.8 kilometer akan dibina bagi mengatasi masalah kesesakan lalulintas di Bandaraya Melaka khususnya pada hari cuti, kata Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam.

Beliau berkata, projek yang melibatkan kos bernilai RM50 juta itu akan dilaksanakan bermula di Muara Sungai Melaka sehingga ke Tapak Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI), Klebang dijangka siap pada awal tahun depan.

"Projek lebuh raya ini juga mampu memberi sumbangan positif kepada pembangunan industri pelancongan dan hartanah negeri selain menjadi laluan alternatif kepada pengunjung untuk ke Dataran 1Malaysia (D1M) Klebang," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis pecah tanah projek lebuh raya berkenaan di sini, Khamis.

Beliau berkata, beberapa projek lain akan turut dibangunkan sepanjang lebuh raya berkenaan termasuk Masjid Cina Muslim bernilai RM5 juta, hotel dan kawasan kediaman.

Sementara itu, Mohd Ali turut berharap kerajaan persekutuan dapat meluluskan projek pembinaan Lebuhraya Persisiran Selat Melaka dari Tanjung Kling atau Klebang ke Kuala Linggi.

"Kita difahamkan proses pembinaan lebuh raya ini memakan belanja sehingga RM700 juta tetapi RM50 juta akan ditanggung oleh sektor swasta," katanya.

Katanya, jika projek itu dapat diluluskan, ia mampu membantu meningkatkan ekonomi penduduk di kawasan persisiran pantai di samping memajukan sektor pelancongan di sepanjang kawasan berkenaan. - BERNAMA

Artikel Lain