suria

Jabatan Penjara Wujud Program Penternakan Lembu Untuk Diusahakan Banduan

KLUANG: Jabatan Penjara mewujudkan program penternakan lembu berskala besar yang akan diusahakan oleh banduan menerusi program pemulihan melalui latihan yang sekaligus dapat meningkatkan hasil penternakan negara.

Timbalan Ketua Pengarah (Keselamatan dan Koreksional) Jabatan Penjara Datuk Hassan Sakimon berkata program dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Veterinar itu bertujuan memberi persediaan kepada banduan untuk berdikari seterusnya membekalkan keperluan bekalan daging dalam penjara dan dikomersialkan.

Program perintis penternakan lembu ini sudah dimulakan tahun ini di beberapa penjara dan pusat tahanan termasuk Penjara Kluang, di sini, Penjara Pokok Sena, Kedah; Pusat Tahanan dan Perlindungan Taiping, Perak; Institut Pemulihan Dadah Jelebu, Negeri Sembilan dan Sekolah Henry Gurney Keningau, Sabah," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyerahan 102 lembu betina baka Zebu Myanmar oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar, di Penjara Kluang, dekat Kahang, di sini, Jumaat.

Hassan berkata program penternakan berskala besar itu selaras dengan fokus keempat Pelan Induk Jabatan Penjara dengan penghuni yang dipilih untuk mengikuti latihan itu akan diberikan bimbingan secukupnya bagi membolehkan mereka memiliki kemahiran dalam bidang penternakan.

Beliau berkata program penternakan itu akan diperluaskan ke penjara lain di negara ini sekiranya program perintis berkenaan berjaya dilaksanakan.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar (Pembangunan) Datuk Dr Ibrahim Che Embong berkata perkongsian pintar dengan Jabatan Penjara terjalin melalui perjanjian persefahaman yang dimeterai tahun lepas bagi membangunkan industri penternakan. Beliau berkata 120 ekor lembu betina yang ditempatkan di ladang seluas 32 hektar di Penjara Kluang itu dijangka mampu membiak kepada 80 ekor anak lembu dalam tempoh setahun.

"Buat masa ini lembu betina berkenaan sedang dikuarantin selama dua bulan di ladang itu sebelum lima lembu jantan dibawa masuk bagi proses pembiakan. Jabatan Perkhidmatan Veterinar selanjutnya akan memberi galakkan dan bimbingan kepada banduan yang terlibat bagi menjayakan program ini," katanya. - BERNAMA

Artikel Berikut

Abdul Aziz Dipelawa Sertai PAS

Artikel Lain