suria

Adrian Ang Penerima Terbanyak Insentif Sukan SEA 2011

KUALA LUMPUR: Pemain boling negara, Adrian Ang muncul sebagai penerima terbanyak Skim Hadiah Kemenangan Sukan (Shakam) dengan meraih RM20,333 atas kejayaan merangkul empat pingat emas di Sukan SEA ke-26 di Indonesia bulan lepas.

Pemain berusia 23 tahun dari Pulau Pinang itu menerima RM10,000 bagi acara Masters, RM5,000 (Beregu), RM3,333 (Trio) dan RM2,000 dalam acara lima sepasukan.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyampaikan pemberian insentif SHAKAM kepada 91 atlet negara yang berjaya menggondol 59 ingat emas pada temasya dwitahunan itu di Stadium Juara, Bukit Jalil, di sini, Jumaat.

"Insentif ini merupakan perangsang untuk memburu lebih banyak kejayaan di persada antarabangsa tahun depan," kata Adrian selepas menerima insentif tersebut.

Katanya, pencapaian empat emas pada Sukan SEA itu adalah pencapaian terbaiknya selepas hanya berpuas hati dengan pingat perak acara berpasukan dan gangsa dalam acara trio pada edisi 2007 di Korat, Thailand.

Pelumba berbasikal trek wanita Fatehah Mustapa menjadi individu kedua penerima terbanyak dengan RM20,000 selepas hasil tiga emas dalam acara 500m ujian masa individu, pecut individu dan pecut berpasukan.

Majlis Sukan Negara (MSN) membayar sejumlah RM629,996 sebagai insentif di bawah SHAKAM bagi Sukan SEA 2011.

Acara akuatik renang, terjun, renang berirama dan renang laut terbuka menjadi penerima terbanyak SHAKAM dari Sukan SEA dengan menerima keseluruhan RM209,998, hasil tuaian 19 pingat emas.

Ia diikuti berbasikal (RM65,000), olahraga (RM61,000), boling (RM51,999), bola sepak lelaki dan karate (RM40,000), ski air (RM37,000), wushu dan pencak silat (RM30,000), lawan pedang (RM20,000), memanah (RM19,999), menembak (RM15,000) dan snuker & biliard (RM10,000). - BERNAMA

Artikel Lain