suria

Jumlah Jemaah Pakej Almaas Tidak Ditambah Untuk Jamin Keselesaan

MEKAH: Tabung Haji Travel and Services Sdn Bhd (THTS) yang menawarkan pakej haji AlMaas yang harganya bermula dari RM114,990, tidak bercadang untuk menambah jumlah jemaah haji pakej itu pada masa akan datang, dalam usaha menjamin keselesaannya.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Yasmin Mohd Yazid berkata jumlah jemaah itu dilihat amat sesuai bagi memastikan mereka yang berkemampuan yang memilih pakej itu, benar-benar selesa dengan pilihan pakej mereka.

Beliau berkata selain keselesaan dari segi ruang penginapan, lain-lain kelebihan pakej ini ialah ia menyediakan pengangkutan bas jemaah yang selesa, dan jarak penginapan dengan Masjidil Haram yang dekat, hanya sekitar 30 meter.

"Tahun ini 32 jemaah memilih pakej ini, jumlahnya sesuai untuk sebuah bas yang disewa khas bagi pengangkutan jemaah haji ini," katanya kepada kumpulan media Tabung Haji di sini.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas ketika ditanya siapa yang pernah menunaikan haji dengan pakej AlMaas kerana menurutnya soal itu tidak pernah didedahkan oleh pihaknya. Tahun ini Tabung Haji memberi permit kepada 27 syarikat pengelola (termasuk anak syarikatnya TH Travel) untuk menawarkan pakej-pakej haji bagi jemaah yang berkemampuan, untuk menjalani ibadah haji dalam suasana yang agak lebih selesa daripada yang disediakan muasassah Tabung Haji, yang menetapkan bayaran RM9,980.

Pakej paling rendah yang ditawarkan oleh syarikat-syarikat ini bermula dari RM17,000, dan difahamkan nisbah petugas dengan jemaah haji bagi muasassah adalah sekitar 1:200 berbanding pakej yang menawarkan nisbah sekitar 1:80, manakala pakej AlMaas menyediakan petugas pada nisbah 1:10.

Yasmin berkata TH Travel menawarkan tujuh pakej yang bermula dari pakej Intan (RM20,490), Baiduri (RM22,950), Fairuz (RM22,990), Firdaus (RM24,390), Nilam (RM28,490), Zamrud (RM64,990), dan AlMaas (RM114,990).

Jarak antara penginapan jemaah haji muasassah dengan Masjidil Haram di sini adalah antara 30 dan 750 meter, manakala pakej Intan menawarkan jarak penginapan sekitar 540 meter.

Sementara itu Yasmin berkata jemaah yang berhasrat mendapatkan pakej-pakej yang disediakan oleh syarikat-syarikat swasta itu perlu melalui proses yang sama terlebih dahulu, iaitu ia perlu mendapat kebenaran untuk menunakan haji daripada Tabung Haji. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain