suria

90,000 Ekspatriat Bakal Terima i-Pass

PUTRAJAYA: Kad i-Pass atau kad pengenalan untuk warga asing akan diperluaskan kepada kira-kira 90,000 ekspatriat di negara ini dan mereka dikecualikan daripada mengisi kad berlepas apabila memasuki Malaysia.

Kad i-Pass pada masa ini dikeluarkan untuk pekerja asing yang menggunakan Pas Pekerja dan kini diperluaskan kepada pemegang Pas Residen.

Pas berkenaan diperkenalkan oleh Kementerian Dalam Negeri pada bulan lalu bagi menggantikan i-Kad yang digunakan sejak tahun 1998.

Dokumen pengenalan yang ditambahbaik itu mempunyai ciri keselamatan tambahan yang mempunyai persamaan dengan MyKad.

Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Tan Sri Mahmood Adam berkata, salah satu ciri berkenaan adalah Kod Respons Pantas yang boleh diimbas menggunakan telefon pintar.

“Ia akan memaparkan butiran pemegang i-Pass. Warga asing selepas ini tidak perlu lagi membawa pasport mereka untuk ke mana-mana di dalam negara apabila menggunakan i-Pass,” katanya.

Penyerahan i-Pass kepada pemegang Pas Residen akan diadakan di Bangunan Putra Perdana di sini pada Selasa.

Menurut penasihat media dari Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, seramai 11 Pas Residen akan menerima i-Pass daripada Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Sidek Hassan.

“Pemegang i-Pass akan dikecualikan daripada mengisi kad berlepas apabila memasuki Malaysia dan pasport mereka tidak akan dicap secara manual di kaunter Imigresen apabila masuk atau keluar negara,” kata penasihat itu.

Kad i-Pass tersebut dikeluarkan oleh Jabatan Imigresen manakala Pas Residen pula diuruskan oleh Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp).

Pas Residen dilancarkan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein pada April bagi menawarkan tempoh menetap lebih panjang antara lima sehingga 10 tahun kepada golongan profesional asing berkemahiran tinggi yang bekerja di negara ini.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain