suria

729 Pusat Pemindahan Hadapi Banjir Di Kelantan

KOTA BARU: Sebanyak 170 pangkalan hadapan dan 729 pusat pemindahan sementara yang mampu menampung 150,000 mangsa banjir di Kelantan telah dikenal pasti sebagai persediaan menghadapi musim tengkujuh kali ini.

Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Kelantan Md Noor Chik berkata jabatan itu telah menerima peruntukan RM800,000 daripada kerajaan pusat antaranya untuk membeli pelbagai peralatan dan menyediakan makanan untuk mangsa banjir.

Sebahagian daripada keperluan bantuan itu telahpun diagihkan kepada pangkalan hadapan yang diwujudkan di seluruh negeri, katanya kepada Bernama pada Selasa.

Md Noor berkata JKM tidak menghadapi masalah untuk menyimpan barangan keperluan dalam masa banjir kerana terdapat pusat penyimpanan barangan di depotnya di Pengkalan Chepa yang mula beroperasi tahun lepas.

Beliau juga berkata JKM Kelantan telah meluluskan peruntukan bulanan RM450 kepada lima beradik dari Kampung Tok Ku, Sering, dekat sini yang terpaksa bergilir-gilir ponteng sekolah untuk menjaga nenek dan datuk mereka yang sakit.

Bantuan yang akan diberi mulai bulan depan bertujuan meringankan beban perbelanjaan lima kanak-kanak terbabit yang terpaksa mengorbankan masa mereka menjaga keluarganya yang daif dan miskin itu, katanya.

Nik Nur Alwani Zulkifli, 16, Nik Muhamad Arif, 15, Nik Muhamad Afif, 13, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Raja Sakti dan Nik Mohamad Azwar, 11, dan Nik Nur Athirah, 10, pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Kota Jembal, terpaksa ponteng sekolah bagi meringankan beban ibu mereka, Tengku Azizah Tengku Ahmad, 41, yang mengambil alih tugas menyara keluarga selepas suaminya, Zulkifli Deraman, 44, diserang angin ahmar dua tahun lepas. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain