suria

Rumah Perantaraan Untuk Bantu Bekas Banduan Suaikan Diri

KUALA LUMPUR: Pengenalan Rumah Perantaraan untuk bekas banduan disifatkan dapat membantu mengurangkan kadar bilangan banduan yang berulang kali masuk penjara.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wira Abu Seman Yusop berkata, usaha itu merupakan antara lebih 50 inisiatif dalam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang diperkenalkan kerajaan dalam usaha mengurangkan kadar jenayah di negara ini.

"Pada masa ini kadar mereka yang berulang masuk penjara adalah sebanyak 15.8 peratus dan sasaran adalah 15 peratus menjelang akhir tahun ini.

"Ini dapat membantu kerana antara fungsi Rumah Perantaraan adalah mengelakkan bekas banduan daripada mengulangi perbuatan jenayah," katanya pada sidang media selepas melancarkan Rumah Perantaraan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di sini, Khamis.

Majlis itu turut dihadiri oleh Ketua Pengarah Jabatan Penjara, Datuk Wira Zulkifli Omar.

Jabatan Penjara bagaimanapun telah pun mencapai sasaran dalam NKRA iaitu tidak melebihi daripada 17 peratus berbanding jumlah kemasukan banduan setahun.

Rumah Perantaraan berfungsi sebagai penempatan sementara kepada bekas banduan dalam meneruskan kehidupan baru selepas tamat tempoh hukuman dalam penjara.

Abu Seman berkata, pada masa ini terdapat tujuh Rumah Perantaraan yang telah beroperasi.

"Tiga Rumah Perantaraan masih dalam kerja pengubahsuaian, tiga telah siap dibaik pulih dan sedia untuk beroperasi manakala satu lagi dikenal pasti untuk penyewaan premis.

"Kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM686,500 pada tahun 2010 dan RM1 juta pada tahun ini bagi penyediaan rumah-rumah itu," katanya.

Menurut Abu Seman, sejak diperkenalkan pada Mei 2010, seramai 110 bekas banduan telah menghuni di Rumah Perantaraan.

"Inisiatif itu adalah usaha Jabatan Penjara membawa wadah baru dalam melakukan transformasi terhadap proses pemulihan banduan," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain