suria

AirAsia X Kini Ke Osaka

KUALA LUMPUR: AirAsia X, syarikat penerbangan jarak jauh dan tambang murah AirAsia, akan memulakan perkhidmatan ke Osaka, destinasi keduanya di Jepun selepas Tokyo, mulai 30 November depan.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Rabu, AirAsia berkata, syarikat gabungannya itu akan terbang terus dari Kuala Lumpur ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kansai di Osaka dengan empat perkhidmatan mingguan tanpa henti.

Bagi menandakan pelancaran laluan ini, AirAsia X akan menawarkan tambang KL-Osaka dari serendah RM249 kelas ekonomi satu hala dan dari RM1,569 sehala di kelas kerusi tidur premiumnya.

"Tempoh tempahan ialah mulai 11-14 Ogos, untuk perjalanan antara 30 November tahun ini dan 20 Jun 2012," katanya.

Sementara itu, Ketua pegawai eksekutif AirAsia X, Azran Osman-Rani berkata, laluan baharu itu dijangka dapat membantu memenuhi permintaan daripada para pengembara perniagaan dan riadah antara Asia Tenggara dan Jepun.

Osaka, bandar ketiga terbesar di Jepun, akan menjadi destinasi antarabangsanya yang ke-16.

Pada masa ini, syarikat itu menawarkan perkhidmatan ke destinasi di Australia, United Kingdom, Perancis, Taiwan, Korea Selatan, China, Iran, New Zealand, India dan Tokyo.

Artikel Lain