suria

Saman Wanita Rakaman Video Ketuk-ketampi Selesai Luar Mahkamah

KUALA LUMPUR: Saman terhadap kerajaan oleh seorang wanita yang dipaparkan dalam rakaman video semasa sedang melakukan ketuk-ketampi dalam keadaan bogel di sebuah balai polis pada 2006, diselesaikan di luar mahkamah Rabu.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Lau Bee Lan merekodkan penyelesaian kes itu dalam kamar dengan kehadiran peguam daripada kedua-dua pihak.

Pada 29 Ogos 2006, Hemy Hamisa Abu Hasan Saari, seorang suri rumah, memfailkan saman itu dengan menamakan Mohd Dzulfatah Saari (ketika itu berpangkat Konstabel), yang didakwa membuat rakaman itu ketika dia sedang melakukan ketuk-ketampi tanpa berpakaian, dan kerajaan selaku responden.

Dia menuntut ganti rugi am berjumlah lebih RM250,000, ganti rugi teladan, kos dan relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

Peguam Datuk Baljit Singh Sidhu, yang mewakili surirumah berkenaan, memberitahu pemberita bahawa anak guamnya bersetuju menyelesaikan kes itu di luar mahkamah berikutan cadangan oleh responden.

Ditanya mengenai kuantum ganti rugi, beliau berkata kedua-dua pihak bersetuju untuk tidak mengumumkan jumlahnya.

Baljit berkata selama enam tahun, Hemy Hamisa, ibu kepada tiga anak, terpaksa mengharungi trauma selepas insiden itu dan kesannya terus kekal dalam hidup wanita berkenaan.

Dalam pernyataan tuntutannya, Hemy Hamisa, 28, berkata polis menahannya antara 1 dan 2 pagi pada 29 Jun, 2005 kerana disyaki terbabit dalam penyalahgunaan dadah dan kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya.

Katanya rakaman video itu tersebar luar sama ada melalui telefon bimbit, media cetak atau Internet.

Susulan insiden itu, Suruhanjaya Siasatan Diraja ditubuhkan pada 2005, untuk mengenal pasti identiti wanita terbabit.

Suruhanjaya berkenaan mendapati wanita yang dipaparkan dalam rakaman video itu semasa sedang melakukan ketuk-ketampi dalam keadaan bogel adalah Hemy Hamisa.

Hemy Hamisa berkata suruhanjaya itu turut membuat keputusan bahawa mengarahkan seseorang tahanan untuk melakukan ketuk-ketampi tanpa berpakaian adalah salah dan tidak sah mengikut undang-undang.

Dalam pembelaannya, defendan berkata ketuk-ketampi adalah amalan biasa yang dilakukan ke atas suspek kes dadah sebelum mereka dihantar ke lokap polis.

Baljit juga berkata Mahkamah Majistret Petaling Jaya menetapkan 8 Ogos untuk membuat keputusan terhadap Hemy Hamisa yang didakwa memiliki dadah bersama lima orang yang lain. - BERNAMA

Artikel Lain