suria

Pemimpin Kanan SUPP Wajar Berundur - George Chan

KUALA LUMPUR: Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Tan Sri Dr George Chan Hong Nam berkata pemimpin kanan parti patut berundur bersama-samanya pada Persidangan Perwakilan Tiga Tahun Sekali (TDC) parti pada Disember ini. Dalam temu bual yang disiarkan oleh New Sarawak Tribune hari ini, Dr Chan dipetik sebagai berkata beliau benar-benar serius apabila beliau berkata "pemimpin lama" perlu berbuat sesuatu demi kelangsungan hidup parti.

"Parti sememangnya amat menghargai usaha kita selama ini dan kini kita patut berundur dan menyerahkan parti kepada orang baru dan muda yang boleh bekerja bersama-sama tanpa memikirkan mengenai perkauman, kedaerahan dan berpuak-puak," katanya.

Dr Chan berkata beliau secara peribadi telah menulis surat kepada pemimpin-pemimpin cawangan parti dan meminta mereka bersara dan sesetengahnya telah menjawab dan bersetuju dengan cadangannya.

SUPP mengalami kekalahan paling teruk dalam sejarah pilihan raya negeri apabila ia kecundang di 13 daripada 19 kerusi yang ditandinginya pada pilihan raya negeri Sarawak 16 April lepas. Dr Chan sendiri kalah di kerusi Piasau kepada muka baru daripada DAP, Ling Sie Kiong.

"Satu-satunya jalan keluar sekarang ialah mereka yang gagal dalam pilihan raya perlu berundur. Kita perlukan 30 peratus pemimpin baru, 30 peratus pemimpin muda dan 30 peratus pemimpin lama untuk memulihkan parti kita ini," katanya.

Menegaskan bahawa beliau benar-benar ikhlas mengenai usaha memulihkan semula parti itu, Dr Chan berkata beliau tidak bimbang mengenai apa yang anggota parti perkatakan mengenai dirinya kerana beliau mahu mendapatkan pemimpin muda dan baru untuk menerajui parti bagi membawa pembaharuan.

"Jika kita benar-benar sayangkan parti, biar pemimpin muda memimpinnya mengikut cara yang mereka fikirkan sesuai," katanya. Dr Chan juga menegaskan bahawa walaupun terdapat banyak pemimpin berwibawa di dalam parti, namun generasi muda tidak diberikan banyak peluang untuk menyinar.

Beliau akan ke Sibu pada 23 Julai, Miri (24 Julai), Sri Aman (30 Julai) dan Kuching (31 Julai) untuk memberi penjelasan kepada anggota parti mengenai perkara itu. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain