suria

Bekas Isteri Zainal Abidin Kemuka Keterangan Bertulis

KUALA LUMPUR: Bekas isteri kepada penyanyi, Zainal Abidin pada Selasa, memfailkan keterangan bertulisnya di Mahkamah Tinggi Syariah di sini berhubung tuntutan tunggakan nafkah anak bernilai RM167,102.04.

Pada prosiding yang dijalankan di hadapan Hakim Syarie, Mohd Amran Mat Zain, Natasha Gabriel Abdullah, 52, turut mengesahkan butiran yang terkandung di dalam dokumen tersebut.

Natasha Gabriel yang merupakan seorang bekas model diwakili oleh peguam syarie Norhusniah Husin manakala Zainal Abidin, 51, tidak menghadiri prosiding dan hanya diwakili oleh peguam syarie Abdul Halim Bahari.

Permohonan itu akan dibicarakan pada 24 Oktober depan.

Permohonan tersebut difailkan oleh Natasha Gabriel untuk menuntut hutang nafkah yang didakwanya tidak dibayar oleh bekas vokalis kumpulan Headwind tersebut sejak tahun 2002 yang meliputi yuran persekolahan, kelas agama dan perubatan.

Zainal Abidin atau nama penuhnya Zainal Abidin Mohamed bernikah dengan Natasha Gabriel pada 24 Mac 1987 dan hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan sepasang cahaya mata, Mikhail, 18, yang merupakan seorang autisme manakala anak perempuan mereka, Timur berusia 16 tahun.

Pasangan tersebut bercerai pada 12 Disember 2000.

Selain permohonan tuntutan tersebut, Zainal Abidin juga menghadapi permohonan untuk mengubah perintah nafkah bulanan, wang perbelanjaan hari raya dan pembelajaran anak-anak tersebut yang difailkan Natasha Gabriel pada tahun lalu.

Natasha Gabriel memohon agar nafkah bulanan RM200 bagi setiap anak dinaikkan menjadi RM1,200 seorang, manakala nafkah hari raya diubah daripada RM150 kepada RM300 setiap seorang.

Wanita tersebut juga menuntut agar perbelanjaan bulanan persekolahan dua anaknya di sebuah sekolah swasta dinaikkan, iaitu RM3,500 bagi Mikhail dan RM2,000 sebagai perbelanjaan untuk Timur.

Artikel Lain