suria

Sijil Kelahiran Merah Bagi Kanak-kanak Bukan Warganegara Mulai Hari Ini

PUTRAJAYA: Mulai Jumaat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) akan mengeluarkan Sijil Kelahiran berwarna Merah bagi kanak-kanak yang bertaraf bukan warganegara.

Menurut kenyataan JPN di sini Jumaat, sebelum ini warna sijil kelahiran kanak-kanak warganegara dan bukan warganegara adalah sama iaitu hijau.

Perbezaan warna itu adalah untuk memaklumkan bahawa sijil kelahiran berwarna hijau hanya dikeluarkan kepada kanak-kanak yang bertaraf warganegara Malaysia sementara sijil kelahiran berwarna merah untuk kanak-kanak bukan warganegara.

"Ia juga untuk mengelakkan ibu bapa atau warga asing yang melahirkan anak di negara ini beranggapan bahawa dengan memiliki sijil kelahiran Malaysia, anak-anak mereka adalah secara automatik menjadi warganegara," kata kenyataan itu.

Selain itu ia bertujuan memberi makluman awal kepada ibu bapa akan status kewarganegaraan anak yang dilahirkan; mengelakkan sebarang kekeliruan kepada orang ramai dalam mengenalpasti taraf kewarganegaraan seseorang kanak-kanak; dan memudahkan agensi-agensi lain untuk mengenalpasti taraf kewarganegaraan seseorang kanak-kanak apabila berurusan.

Bagi kanak-kanak bertaraf bukan warganegara yang telah memiliki sijil kelahiran yang berwarna hijau sebelum ini, ia dikekalkan dan hanya berubah apabila pemohon membuat Cabutan Sijil Kelahiran di mana-mana pejabat JPN berhampiran.- BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain