suria

Waspada Ancaman Penggodam Di Internet

PETALING JAYA: Serangan ke atas 91 laman web kerajaan Malaysia oleh sekumpulan penggodam yang menggelar diri mereka, Anonymous mungkin tidak memberi kesan kepada pengguna Internet di negara ini tetapi ia tidak bermaksud ancaman itu sudah berakhir.

Ancaman terbesar bukan saja diterima daripada penggodam seperti Anonymous tetapi penggodam yang mencuri maklumat sulit untuk dijual secara haram, kata Ketua Perunding Asia Selatan di Symantec Corporation, Nigel Tan.

"Penjualan maklumat sulit secara haram merupakan perniagaan besar. Ia dapat menandingi atau mengatasi penjualan dadah secara haram," katanya.

Oleh kerana jenayah siber di Internet semakin meningkat, ancaman siber di peringkat global dijangka memberi impak kepada pengguna dan ahli perniagaan di Malaysia.

Menurut Laporan Ancaman Keselamatan Internet Symantec pada April, peningkatan sebanyak 93 peratus dalam serangan laman web di seluruh negara setiap hari pada tahun lalu berbanding 2009.

Dalam pencerobohan setiap data sepanjang 2010, sekurang-kurangnya 260,000 idenetiti berjaya didedahkan.

"Kini berapa ramai penggodam yang melakukan pencerobohan itu kerana wang?Permintaan terhadap maklumat sulit amat tinggi," kata Tan yang mendedahkan penjualan maklumat kad kredit secara haram mencecah RM300.

"Adalah amat penting bahawa orang ramai menyedari atau belajar cara-cara untuk melindungi diri mereka di Internet.

"Kita perlu bijak menilai apa yang diletakkan secara online kerana penggodam sedang mengumpul maklumat sulit kita bukan saja dari satu tetapi banyak laman web berbeza," jelasnya.

Tambah Tan, laman web sosial merupakan cara mudah bagi penjenayah siber mencuri maklumat sulit pengguna Internet untuk dijual.

"Sila berhati-hati dengan data peribadi yang diletakkan di laman web sosial. Sebelum memberikan maklumat peribadi di mana-mana laman web, tanya diri anda sama ada mereka benar-benar meminta anda berbuat demikian," katanya.

Artikel Lain