suria

Anwar Kembali Ke Parlimen Selepas 6 Bulan Digantung

KUALA LUMPUR: Selepas enam bulan menerima hukuman digantung daripada menghadiri persidangan Dewan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim kembali menghangatkan sidang Parlimen pada Khamis.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh tiba di lobi Parlimen kira-kira pukul 9.56 pagi disambut beberapa Ahli Parlimen Pembangkang daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), PAS dan DAP.

Turut sama kembali pada persidangan kali ini ialah Mohamed Azmin Ali (PKR-Gombak), Karpal Singh (DAP-Gelugor) dan R. Sivarasa (PKR-Subang) selepas menerima hukuman gantung bagi tempoh yang sama.

Pada 16 Disember tahun lalu, Anwar yang juga Ketua Pembangkang, digantung daripada menghadiri persidangan Dewan Rakyat selama enam bulan kerana memberi keterangan tidak benar kepada Dewan apabila mengaitkan konsep 1Malaysia dengan One Israel.

Usul untuk menggantung Anwar diluluskan tanpa sebarang perbahasan menyebabkan kesemua Ahli Parlimen pembangkang bertindak keluar dewan menyebabkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz mengemukakan usul kedua, untuk menggantung tiga yang lain, iaitu Karpal, Sivarasa dan Mohamed Azmin kerana menghina dewan.

Pada sesi soal jawab Dewan Rakyat hari ini, Anwar mengemukakan soalan pada urutan kedua bagi mendapat penjelasan Perdana Menteri berhubung pinjaman Felda daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Artikel Lain