suria

Aduan Kepada Tribunal Pengguna Kini Boleh Dibuat Melalui SMS

KUALA LUMPUR: Pengguna yang ingin membuat aduan kepada Tribunal Tuntutan Pengguna kini boleh melakukannya melalui khidmat pesanan ringkas (SMS), kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Katanya, sebarang aduan boleh dibuat dengan menghantar sms ke nombor 15888 dan taip TTPM TUNTUT (no kad pengenalan) (nama penuh) (alamat penuh) (tuntutan).

“Ini akan membantu mereka yang tinggal jauh dari bandar daripada terpaksa bergerak ke bandar semata-mata untuk membuat aduan," katanya selepas melancarkan Journal Undang-Undang Pengguna Malaysia, Rabu.

Pengguna yang membuat aduan melalui sms itu katanya akan menerima panggilan dalam tempoh tiga hari bekerja bagi membuat pengesahan untuk memfailkan kes untuk didengar oleh Mahkamah Tribunal nanti.

Sehingga kini (dari Januari - Mei) sejumlah 4,542 kes telah difailkan kepada Tribunal berbanding 2,272 kes untuk tempoh yang sama tahun lalu, kata Ismail lagi.

Katanya, peningkatan jumlah aduan yang dibuat banyak dipengaruhi oleh kesedaran orang-ramai akan hak mereka sebagai pengguna berbanding masa lalu.

Dari Januari 2000 hingga 31 Mei tahun ini, Mahkamah Tribunal Pengguna telah menyelesaikan 58,094 kes daripada 59,441 kes yang diadukan.

Jumlah tuntutan yang difailkan sepanjang tempoh tersebut adalah bernilai RM275.6 juta dan jumlah tuntutan yang telah dianugerahkan kepada pengguna berjumlah RM135.2 juta, kata Ismail Sabri lagi.

Artikel Lain