suria

Abdul Rani Tidak Minat Jawatan Exco Selangor

PETALING JAYA: Pesuruhjaya PAS Selangor yang baru, Dr Abdul Rani Osman menegaskan beliau tidak berminat untuk memegang jawatan Exco Kerajaan Negeri Selangor jika ditawarkan menggantikan Datuk Dr Hassan Mohamad Ali.

Sebaliknya, Abdul Rani yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meru menegaskan, sebagai pesuruhjaya negeri yang baru beliau akan menumpukan kepada usaha menyatukan PAS Selangor.

“Taubatlah... kalau ada tawaran (sebagai Exco Kerajaan Negeri) sekalipun, saya akan tolak. Ramai lagi orang yang lebih layak daripada saya.

“Saya mahu memikul amanah sebagai pesuruhjaya negeri dengan sebaiknya. Saya mahu tumpukan perhatian kepada usaha menyatukan PAS Selangor ,” katanya ketika dihubungi mStar Online di sini, Rabu.

Abdul Rani berkata demikian diminta mengulas desas-desus beliau akan dilantik sebagai Exco Kerajaan Negeri Selangor menggantikan Hassan yang digugurkan daripada jawatan Pesuruhjaya PAS negeri minggu lalu.

Selasa lalu, Ketua Pembangkang Selangor, Datuk Satim Diman menggesa Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menggugurkan Hassan sebagai Exco Hal Ehwal Islam, Adat-adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam dalam tempoh terdekat selepas beliau digugurkan daripada jawatan Pesuruhjaya PAS Selangor.

Menurut Satim, sikap melambatkan rombakan Exco membuktikan bahawa Abdul Khalid tidak menghormati keputusan dan polisi PAS selaku rakan parti dalam Pakatan Rakyat.

Mengulas mengenai usaha yang akan dilakukan sebagai Pesuruhjaya negeri yang baru, Abdul Rani berazam untuk mempertahankan semua kerusi yang dimenangi oleh parti itu pada pilihan raya umum ke-13 (PRU-13) di Selangor.

“Saya lihat cabaran kali ini lebih besar, namun kita yakin PAS Selangor mampu pertahankan semua kerusi yang kita menangi.

“Bukan itu sahaja, malah kita boleh tambah kerusi di negeri ini sekiranya kita berusaha keras serta menggerakkan jentera parti daripada sekarang,” katanya.

Jelasnya, beliau akan memanggil mesyuarat pertama pada minggu hadapan sebagai langkah pertama untuk menyusun strategi PAS dalam menghadapi PRU-13.

“Insya-Allah, Isnin depan saya akan panggil semua Yang Dipertua PAS kawasan dan ketua-ketua dewan untuk membincangkan mengenai strategi serta usaha penambahbaikan yang boleh dilakukan,” katanya.

Ahad lalu, Jawatankuasa PAS pusat mengumumkan pelantikan Abdul Rani dan Abdul Wahid Endut masing-masing sebagai Pesuruhjaya PAS Selangor dan Terengganu yang baru.

Keputusan yang diumumkan oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu menyaksikan Hasan Ali dan Ketua Dewan Ulama PAS pusat, Datuk Harun Taib digugurkan daripada jawatan Pesuruhjaya PAS di kedua-dua buah negeri.

Artikel Lain