suria

Anggota Kasih Perlu Lengkapkan Diri Dengan Maklumat Terkini:Rosmah

SHAH ALAM: Anggota Badan Amal dan Kasih Selangor (Kasih) perlu melengkapkan diri dengan maklumat terkini mengenai dasar dan program kerajaan bagi membantu menyalurkannya ke akar umbi, kata Datin Seri Rosmah Mansor.

Isteri perdana menteri, yang juga Yang Dipertua badan itu berkata dengan cara ini, Kasih bukan sekadar berperanan sebagai sebuah badan amal dan kebajikan, malah secara tidak langsung membantu kerajaan memperkasakan sistem penyampaian maklumat terus ke akar umbi.

"Ini tidak bermakna kita mahu mengambil alih tugas wakil rakyat, tetapi sekadar membantu para suami (ahli Kasih ) yang juga wakil rakyat dan pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN) dari pelbagai peringkat, menyalurkan maklumat yang cepat dan tepat," katanya ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan ketiga Kasih di sini Isnin.

Turut hadir Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar dan isteri Profesor Datin Seri Dr Aishah Salleh, yang juga Naib Yang Dipertua Kasih.

Rosmah berkata anggota Kasih perlu memainkan peranan membantu BN dan suami masing-masing menawan semula Selangor daripada kerajaan pakatan PKR-DAP-PAS bagi membolehkan agenda memperkasakan rakyat dapat dilaksanakan dengan berkesan.

Pada majlis itu, beliau turut melancarkan program khidmat masyarakat Tunas Kasih bagi membantu pelajar di Selangor meningkatkan kecemerlangan akademik dan potensi diri.

Seramai 560 pelajar sekolah rendah dan menengah dari 56 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor menerima bantuan RM100 seorang untuk sekolah rendah, dan RM200 bagi sekolah menengah.

Rosmah berkata setakat ini, Kasih menyumbang RM350,000 dan 116 kerusi roda kepada lebih 1,500 anak yatim, warga emas dan ibu tunggal di Selangor menerusi program Sentuhan Kasih 1Malaysia.

Badan itu turut membantu membaiki 24 rumah daif di negeri itu sehingga Disember tahun lepas, dengan kerjasama 1Malaysia Development Berhad.- BERNAMA

Artikel Lain