suria

25 Awak-Awak Berada Di Atas Kapal Yang Dirampas Di Luar Pantai Kenya

SINGAPURA: Dua puluh lima awak-awak berada di atas kapal tangki kimia pada Sabtu lalu ketika ia dikatakan dirampas di luar pantai Kenya semasa dalam pelayaran ke Somalia.

Dalam satu kenyataan di sini hari ini, Glory Ship Management Pte Ltd, syarikat yang berdaftar di Singapura berkata awak-awak itu terdiri daripada empat warga Korea Selatan, 13 Indonesia, tiga Myanmar dan lima China pada saat kapal dirampas.

Dikatakan pada ketika itu, MT Gemini, kapal kelas ABS jarak sederhana seberat 29,871 tan metrik itu, telah dirampas oleh lanun ketika berada dekat Latitud 07-01S, Longitud 041-21T pada 12.33 tengah hari Sabtu waktu Singapura.

Kapal, yang meninggalkan Kuala Tanjung, Sumatera pada 16 April itu membawa lebih daripada 28,000 tan metrik minyak sawit mentah dari Indonesia untuk serahan di Mombasa, Kenya.

Kenyataan itu mengatakan kapal tersebut disewa oleh penyewa Singapura, dan menambah, bahawa pejabat Glory akhir sekali membuat hubungan telefon satelit dengan kapten kapal tengah hari Sabtu.

Dikatakan pengurusan Glory telah habis usaha untuk menghubungi keluarga awak-awak itu di negara masing-masing. -BERNAMA

Artikel Lain