suria

Percaya dengan tidak percaya...

RAKAMAN klip video adegan yang tidak wajar kita sebutkan di sini yang didakwa melibatkan seorang pemimpin tertinggi sebuah parti politik telah mengundang bukan sahaja kontroversi kerana cara kemunculannya dan juga mereka yang dikatakan terlibat mendedahkannya kepada pengetahuan umum tetapi juga telah menarik seluruh negara kepada satu perdebatan yang maha hebat - ya atau tidak.

Pada masa yang sama, orang ramai juga tertanya-tanya apa akan berlaku kepada mereka yang mendedahkan, memiliki dan menyimpan rakaman klip video berkenaan.

Apakah mereka akan dicaj di mahkamah kerana menyimpan dan memiliki sesuatu yang boleh ditafsirkan sebagai bahan pornografi tidak kira sama ada rakaman tersebut palsu atau tulen.

Dalam pada itu, sebaik sahaja berita mengenai kewujudan video ini tersebar luas pada Isnin lalu, reaksi pertama yang muncul dari khalayak Parti Keadilan Rakyat (PKR) sendiri ialah rakaman tersebut adalah palsu (pendapat ini diberikan tanpa terlebih dahulu menyaksikannya).

Pada hari-hari berikutnya, kesemua barisan parti pembangkang mengeluarkan kenyataan, ini adalah satu konspirasi untuk mengaibkan dan membunuh karakter orang yang didakwa melakukan aksi di dalam rakaman video berkenaan.

Malah sebuah parti cepat-cepat menjatuhkan hukum ‘haram’ bagi sesiapa pun menonton rakaman klip video berkenaan.

Jadi macam mana?

Bagi mereka yang dah berpeluang menyaksikannya tanpa was-was berkata orangnya betul sepertimana yang didakwa.

Malah peguam besar, Mohd Zaid Ibrahim sendiri mengaku dah menyaksikan rakaman tersebut dan dengan sinis berkata, “Saya tahu wajahnya (orang yang didakwa ada dalam video itu), bila kamu lihat gambar Barack Obama, apakah kamu tanya macam mana kamu kenal itu wajah Obama?”

Namun begitu, ramai juga yang menganggap kesemua ini adalah satu lagi konspirasi untuk menjahanamkan politik dan masa depan pemimpin pembangkang berkenaan. Pendek kata, ramai yang siang-siang lagi tidak percaya tanpa perlu menonton atau melihat rakaman klip video berkenaan.

Apatah lagi, mereka mendakwa, orang di sebalik pendedahan video berkenaan mempunyai kredibiliti yang boleh dipertikaikan.

Penulis turut menerima beberapa kiriman email daripada para pembaca. Ada yang mahu isu ini terus didedahkan dan ada yang mempertikaikan kenapa media massa sibuk hendak mendedahkan siapa yang berada di dalam video berkenaan. Mereka amat marah dengan media dan menyumpah media di atas apa yang telah didedahkan.

Malangnya yang dituduh itu ialah seorang yang bercita-cita mahu menjadi perdana menteri Malaysia. Maka orang ramai pun berhak mengetahui kebenaran di sebalik pendedahan ini. Pada pandangan penulis sendiri, tidak kiralah siapa di sebalik pendedahan video itu, apa yang penting sekarang ialah mencari kebenaran dan membuktikan dakwaan-dakwaan itu semua.

Penulis setuju dengan Zaid Ibrahim. Jika tidak percaya kepada pakar dan agensi dalam negara, panggil FBI atau Scotland Yard untuk mengesahkan ketulenan video berkenaan kerana seluruh negara kini sudah terbahagi dua - percaya dengan tidak percaya.

Mahakarya agung...

Ketika penulis membelek-belek penerbitan berkala Balai Seni Lukis Negara yang berjudul SENIKINI, penulis tertarik untuk membicarakan tentang bagaimana karya-karya seni pelukis tempatan mencatat rekod jualan pada satu majlis yang diadakan di Wisma Bentley Music, Petaling Jaya pada tahun lalu. Jualan tersebut dikendalikan oleh Henry Butcher dan merupakan jualan lelong hasil karya seni yang pertama seumpamanya di negara kita.

Majlis jualan lelong itu telah menarik perhatian peminat seni tempatan dan Singapura dan dilaporkan lebih 300 orang telah menghadirinya. Hasil keseluruhan jualan lelong tersebut telah mencecah RM1,737,910 dengan karya Allahyarham Datuk Ibrahim Hussein berjudul The Dream yang dihasilkan pada tahun 1969 menggunakan akrilik dijual pada harga setengah juta ringgit (RM500,500).

Daripada 62 hasil lukisan yang disenaraikan, 52 telah berjaya dilelongkan dengan 32 hasil lukisan berjaya dijual di atas paras harga yang tidak dijangkakan. Dua orang lagi pelukis tersohor negara, Datuk Hoessein Enas dan Datuk Chuah Thean Teng juga turut menyaksikan hasil karya seni mereka dibeli pada harga yang tinggi.

Lukisan Hoessein Enas berjudul Javanese Girl yang dihasilkan pada tahun 1954 dibeli pada harga RM127,600 sementara karya Chuah berjudul Mother and Children telah dibeli pada harga RM114,400 selepas melalui persaingan daripada 24 pembida.

Pada majlis itu, karya The Dream Ibrahim Hussein paling mendapat perhatian ramai kerana lukisan tersebut telah mengembara ke serata dunia mengikuti pemiliknya iaitu seorang kakitangan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang telah membeli lukisan tersebut daripada Ibrahim pada awal tahun 1970-an. Akhirnya selepas melalui proses pembidaan yang ‘hangat’ lukisan itu telah kembali ke tanah airnya sendiri setelah 40 tahun berada di luar negara.

Sementara itu, menurut SENIKINI juga, sebuah lagi karya Hoessein Enas yang berjaya dijual pada harga yang diluar jangkaan ialah lukisan berjudul Peasant Girl - sebuah lukisan pastel yang dihasilkan pada tahun 1993. Lukisan ini menerima pembidaan daripada lapan pembida serius yang hadir dan dua daripada pembida melalui talian. Ia akhirnya dijual pada harga RM44,000.

Di antara pelukis generasi muda yang mendapat perhatian daripada peminat seni lukis tanah air ialah Jalaini Abu Hassan atau lebih dikenali dengan nama Jai. Lukisannya berjudul Lukisan Kertas Chap Reben telah dijual kepada seorang pembida talian pada harga RM26,400 - melangkaui jangkaan awal iaitu antara RM10,000 hingga 12,000.

Malah lukisan-lukisan dari medium watercolour hasil karya pelukis terkenal seperti Chang Fee Ming dan Tan Choon Ghee telah mendapat pembidaan pada harga yang sangat tinggi. Misalnya lukisan Chang berjudul Drying telah dijual pada harga rekod RM42,900.

Hasil lelongan karya seni pertama negara ini bukan sahaja telah membuka dimensi baru kepada para karyawan negara malah telah meletakkan hasil lukisan para artis kita ke tahap yang sewajarnya.

Artikel Lain