suria

586 Guru Besar, Sekolah Dianugerah Tawaran Baru

JASIN: Kerajaan pada Isnin mengotakan janji dengan menganugerahkan kepada 586 guru besar atau sekolah di seluruh negara dengan ganjaran Tawaran Baru (Bai'ah) Kepada Guru Besar berjumlah RM18.4 juta yang merupakan salah satu inisiatif Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Kementerian Pelajaran.

Melalui tawaran berkenaan, setiap guru besar yang terpilih menerima insentif sebanyak RM7,500 diikuti lima peratus guru terbaik menerima RM1,800 manakala sebanyak RM900 untuk guru-guru lain sebanyak 12,141 orang di sekolah-sekolah terbabit.

Sebagai penghargaan tambahan kepada kakitangan sokongan seramai 2,800 orang, kesemua mereka turut dianugerahkan imbuhan yang ditentukan kemudian oleh kementerian.

Penganugerahan tawaran baru itu diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada majlis di Sek. Men. Keb. Tun Syed Zahiruddin, Merlimau di sini.

Menurut beliau, pemilihan guru besar dan sekolah ditentukan melalui pencapaian kualiti kepimpinan, tahap pengajaran dan dan pembelajaran guru masing-masing.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran dalam ucapannya berkata, kesemua penerima anugerah melepasi saringan Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti (JNJK) daripada 924 sekolah yang disenaraikan layak.

"Sukacita saya maklumkan bahawa kakitangan sokongan lain juga telah diputuskan akan turut menerima ganjaran ini kerana merek juga menyumbang kepada kecemerlangan sekolah.

"Ini bermakna, jumlah RM18.4 juta itu akan ditambah dan kita akan cari sumber bagi memenuhi keperluan berkenaan," katanya.

Hadir sama pada majlis berkenaan termasuk Ketua Menteri, Datuk seri Mohd. Ali Rustam; Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr. Wee Ka Siong dan calon Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau, Roslan Ahmad.

Muhyiddin turut merasmikan sekolah berkenaan bernilai RM 28 juta yang siap dibina pada 1 November lalu. Dalam pada itu, Timbalan Perdana Menteri berkata, bagi pengetua-pengetua sekolah menengah pula, bai'ah untuk mereka akan ditentukan selepas keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) diumumkan bulan depan.

Sementara itu, beliau memberitahu 437 (74.32 peratus) daripada 586 penerima adalah daripada sekolah luar bandar manakala selebihnya sekolah dalam bandar.

Selain itu, tambah beliau, turut menerima ialah guru besar SK (Asli), Khas dan SR Agama Bantuan Kerajaan.

Katanya, daripada keseluruhan kedudukann 193 (2.53 peratus) adalah sekolah yang mencapai skor komposit sekurang-kurangnya 84 peratus.

Katanya lagi, 138 (1.81 peratus) adalah sekolah yang melonjakkan kedudukan sekurang-kurangnya sebanyak 2,050 tempat dan 257 (3.37 peratus) sekolah yang berjaya menaikkan skor bermula daripada 6.3 peratus.

"Selian itu, sekolah juga telah disahkan memperoleh laporan audit tanpa teguran dan guru besar memperoleh skor Laporan Nilaian Prestasi Tahunan (LNPT) lebih daripada 90 peratus serta bebas tanpa tindakan tata tertib," ujar beliau.

Bercakap kepada pemberita selepas majlis itu, Muhyiddin berkata, pada awalnya kementerian menetapkan sasaran sekolah yang bakal cemerlang itu hanya sebayak dua pertaus.

Bagaimanapun, tambah beliau, jumlah berkenaan meningkat kepada 7.7 peratus iaitu kira-kira 300 peratus.

"Ini sesuatu di luar jangkaan kita tetapi kementerian tetap menilai kecemerlangan mereka," ujarnya.

Artikel Lain