suria

Keputusan Wajib Lulus Sejarah Dalam SPM Muktamad, Kata Dr Puad

LABIS: Timbalan Menteri Pelajaran Dr Mohd Puad Zarkashi, Jumaat, menjelaskan, keputusan mewajibkan lulus mata pelajaran Sejarah dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mulai tahun 2013 adalah muktamad.

Menurut beliau, cuma yang belum diputuskan ialah bentuk kurikulum mata pelajaran tersebut yang akan digubal dan pendekatannya bagi memastikan ia benar-benar memberi impak berkesan bagi memastikan pelajar menghayati sejarah.

"Sebenarnya, keputusan wajib lulus mata pelajaran Sejarah dalam peperiksaan SPM adalah muktamad. Kita hanya menunggu hasil kajian daripada sebuah jawatankuasa yang ditubuhkan untuk mengkaji kurikulum Sejarah dan buku teks Sejarah sekolah menengah.

"Jawatankuasa ini sedang membuat kajian bagi memastikan kurikulum yang baru dan bakal digubal kelak benar-benar memberi impak yang berkesan untuk melahirkan generasi yang menghayati sejarah," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis ramah mesra dengan guru-guru sekolah kebangsaan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang di Sekolah Kebangsaan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan Tenang pada Jumaat.

Menurut beliau, laporan tersebut perlu diperjelaskan kerana ia boleh disalah ertikan seolah-olah kementerian akan berpatah balik dalam keputusannya untuk mewajibkan mata pelajaran Sejarah kepada pelajar yang mengambil peperiksaan SPM mulai 2013.

Beliau juga berkata, jawatankuasa khas yang ditubuhkan itu dianggotai oleh pakar sejarahwan dan pensyarah universiti yang pakar dalam bidang Sejarah.

Kementerian katanya, akan memperkenalkan Sijil Peperiksaan ulangan untuk mata pelajaran Sejarah kepada pelajar yang gagal dalam peperiksaan SPM mulai tahun 2013.

Langkah itu, katanya untuk membolehkan pelajar yang gagal mata pelajaran itu mengambil peperiksaan ulangan sebagaimana mata pelajaran Matematik dan Bahasa Malaysia untuk membolehkan mereka mendapat sijil SPM.

Sementara itu, Dr Mohd Puad yang juga anggota Majlis Tertinggi Umno berkata Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim patut berundur secara terhormat daripada jawatan Menteri Besar Selangor jika beliau terus berdegil membantah dan mempertikaikan pelantikan Datuk Mohamad Khusrin Munawi sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri itu.

Katanya pelantikan Mohamad Khusrin telah diperkenan oleh Sultan Selangor dan dengan itu sepatutnya tidak timbul lagi soal Menteri Besar Selangor tidak mahu mengiktiraf pelantikan itu.

"Bagi saya, kalau dia (Abdul Khalid) tetap berkeras tidak mahu mengiktiraf, sebenarnya dialah yang menimbulkan krisis perlembagaan," katanya mengulas mengenai kedegilan Abdul Khalid yang menentang pelantikan Mohamad Khusrin dengan mendesak untuk meminda Perlembagaan dan Undang-undang Tubuh Negeri Selangor.

Beliau menyifatkan tindakan Abdul Khalid itu berbahaya kerana ia bukan sahaja menghantar isyarat salah kepada rakyat Selangor tetapi juga kepada pelabur-pelabur asing yang hendak melabur di negeri itu.

"Bagi saya, dia sudah tidak lagi sesuai menjadi Menteri Besar...Khalid sepatutnya mengundur diri secara terhormat," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain