suria

Banjir: Murid Dari Dua Buah Sekolah Di Besut Diarah Pulang

BESUT: Kira-kira 1,000 orang murid dari dua buah Sekolah Rendah di daerah ini diarah pulang pagi ini apabila kawasan sekolah mereka dinaiki air antara 0.2 hingga 0.6 meter.

Sekolah terlibat ialah Sekolah Kebangsaan Bukit Puteri dan Sekolah Kebangsaan Tok Raja di dalam kawasan Dewan Undangan Negeri Jerteh.

Beberapa sekolah lain pula yang turut dinaiki air di daerah ini telah menempatkan pelajar mereka di bangunan yang lebih selamat.

Sekolah yang mengambil langkah sedemikian ialah Sekolah Kebangsaan Alor Peroi dekat Kuala Besut dan Sekolah Kebangsaan Gong Bayor di kawasan Kota Putera.

Sementara itu, seramai 37 orang daripada sembilan keluarga di Kampung La, Hulu Besut dipindahkan ke pusat pemindahan banjir setelah kediaman mereka dinaiki air malam Rabu.

Jurucakap Bilik Gerakan Banjir di Ibupejabat Polis Daerah Besut berkata penduduk terlibat mula dipindahkan ke Masjid Kampung La mulai pukul 8 malam.

Menurutnya mangsa terdiri daripada 20 orang dewasa dan 17 kanak-kanak.

Bagaimanapun mereka dijangka pulang ke rumah sekiranya air surut dalam masa yang terdekat berikutan hujan yang berterusan sejak kelmarin mulai berhenti.

Sementara itu bacaan air di dua tempat sukatan banjir di daerah ini telah melepasi paras berjaga-jaga dengan paras air di Sungai La sehingga pukul 9 pagi tadi ialah 17.55 meter (melepasi paras berjaga-jaga pada 17.20 meter) dan di Jambatan Jerteh 7.75 meter (melepasi paras berjaga-jaga 7.30 meter).

Jalan di sekitar daerah Besut masih boleh dilalui walaupun di sesetengah tempat antara Seberang Jerteh dan Kuala Besut air telah melimpah ke atas jalan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Tujuh GRO Rakyat China Diberkas

Artikel Berikut

Artikel Lain