suria

Pembantu Rumah Maut Dipercayai Cuba Lari Dari Rumah Majikan

PUTRAJAYA: Seorang pembantu rumah warga Indonesia yang dipercayai cuba melarikan diri dari rumah majikannya maut akibat terjatuh dari tingkat 12 Pangsapuri Blok E2, Fasa 12, Presint 9 di sini.

Ketua Polis Daerah Putrajaya Asisten Komisioner (ACP) Abdul Razak Abdul Majid berkata mangsa yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri dipercayai memanjat keluar dari tingkat 12 menggunakan kain selimut malam tadi semasa majikannya tiada di rumah.

"Mayat mangsa ditemui pukul 7.30 pagi tadi oleh penduduk dalam keadaan tertiarap, di lorong belakang sebuah tadika di apartmen ini. Turut dijumpai berhampiran mayat ialah beg pakaian," katanya ketika dihubungi di sini, Ahad.

Beliau berkata siasatan awal polis mendapati tiada unsur jenayah dalam kes ini dan ia diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Putrajaya untuk dibedah siasat.

Abdul Razak berkata polis juga masih menyiasat sama ada majikan berkenaan mengambil pendatang tanpa izin sebagai pembantu rumah berikutan tiada dokumen pengenalan diri mangsa ditemui.

Seorang penduduk yang enggan dikenali berkata, isterinya terdengar dentuman kuat semalam tetapi tidak mengesyaki sebarang kejadian yang berlaku.

"Dipercayai mangsa yang terjatuh dari tingkat 12 turut berpaut pada struktur besi di tingkat 10 sebelum terjatuh. Kesan pautan itu menyebabkan beberapa batang besi di tingkat 10 bengkok," katanya di tempat kejadian.

Beliau juga berkata lorong kecil tempat mayat mangsa ditemui jarang dilalui penduduk menyebabkan kejadian itu tidak dapat dikesan lebih awal.

Majikan mangsa ketika ditemui pemberita enggan mengulas lanjut. - Asia News Network

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain