67 Mangsa Banjir Mula Pindah Ke Pusat Pemindahan - Semasa | mStar

67 Mangsa Banjir Mula Pindah Ke Pusat Pemindahan

RANTAU PANJANG: Seramai 67 penduduk di sini mula dipindahkan ke satu pusat pemindahan sejak pagi ini akibat banjir berikutan hujan yang melanda sejak beberapa hari lalu.

Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan berkata 21 keluarga diarah pindah kira-kira pukul 11 pagi ini selepas kediaman mereka mulai ditenggelami air melebihi satu meter.

"Kesemua mereka, kebanyakannya dari Kampung Pohon Tanjung, Lalang Pepuyu, Kubang Rambutan dan sekitarnya berpindah ke pusat pemindahan sementara di Stesen Keretapi Malaysia Berhad (KTMB) di Rantau Panjang," katanya kepada Bernama, Sabtu.

Jurucakap itu berkata dua laluan ditutup kepada kenderaan iaitu Jalan Pohon Tanjung ke Jeram Perdah (Jalan lama Rantau Panjang) dan Jalan Rantau Panjang ke Lalang Pepuyu.

Beliau berkata paras air Sungai Golok kini berada pada paras 10.21 meter melebihi paras bahaya sembilan meter.

"Penduduk di kawasan berhampiran sungai Golok dan sungai utama di seluruh negeri ini dinasihatkan mengambil langkah awal dengan bersiap sedia untuk menghadapi kemungkinan kehadiran banjir gelombang kedua," kata jurucakap itu.

Hujan renyai-renyai dan kadangkala lebat turun berterusan sejak beberapa hari lalu terutama di kawasan pedalaman Kelantan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berkaitan

Artikel Lain